Ahad, 28 November 2021 | 4:21pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pendidikan teras KPLB ubah kehidupan luar bandar

LABEL kurang enak seperti ketinggalan, mundur atau tercicir dalam segenap aspek, selain dibelenggu jurang besar dari segenap segi baik pendidikan, ekonomi atau taraf hidup, sering kali dikaitkan dengan masyarakat luar bandar.

Wartawan BH, M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman, mendapatkan penjelasan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sejauh mana dakwaan itu benar, selain menyelami misi beliau untuk memacu kesejahteraan luar bandar selaras aspirasi serta konsep Keluarga Malaysia demi Luar Bandar Sejahtera.

Soalan (S): Boleh ulas aspirasi dan konsep Keluarga Malaysia dalam konteks kesejahteraan luar bandar?

Jawapan (J): Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) perlu memastikan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika melancarkan konsep Keluarga Malaysia dapat dicapai. Ini termasuk bagaimana saya sebagai menteri hendak memastikan kesejahteraan rakyat dapat dimanfaat masyarakat luar bandar. Sasaran Keluarga Malaysia untuk memastikan kesejahteraan semua penduduk, termasuk masyarakat luar bandar.

Pertama, mereka perlu ada kemudahan asas mencukupi - jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan capaian internet. Mengenai pendidikan pula, di bawah KPLB ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang ada TABIKA (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) dan TASKA (Taman Asuhan Kanak-Kanak). Untuk menyatakan keadaan baik di luar bandar, maka segala kemudahan bekalan air, elektrik, dewan orang ramai, masjid, TABIKA perlu lengkap.

Pada masa sama, kegiatan ekonomi kena ada juga. Kita tahu di luar bandar selalunya bergantung kelapa sawit dan getah atau penduduknya menjadi nelayan atau usahawan kecil. Kita perlu bawa elemen kesejahteraan ini kepada mereka semua, baharu semangat sebenar Keluarga Malaysia dapat dilihat naratifnya.

S: Pendidikan antara teras utama mengubah hidup. Bagaimanakah pula dalam konteks luar bandar?

J: Sejak menjadi Menteri Pendidikan (sebelum ini), saya sudah melihat dan memberi fokus kepada isu pendidikan luar bandar. Dalam pendidikan, demografi pelajar ditetapkan di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman. Jadi, memang kerap saya bawa urusan berkaitan pendidikan ke luar bandar dulu. Sekarang, urusan itu akan menjadi lebih kerana sebagai menteri yang menjaga hal ehwal luar bandar, saya hendak lihat masyarakatnya mendapat lebih banyak peluang pendidikan dan dapat kemudahan sama seperti di bandar juga.

S: Apakah visi Datuk Seri sebagai teraju KPLB?

J: KPLB ini mandat pertamanya adalah soal sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar. Mandat kedua pula berkaitan pendidikan dan yang ketiga, usaha mengangkat mereka di luar bandar supaya setaraf penduduk bandar, termasuk dalam bidang perniagaan serta keusahawanan. Kita perlu lihat semua mandat ini secara keseluruhan.

Sebagai menteri, saya perlu tahu taraf kehidupan di kampung, maka kita boleh kategorikan penduduk kampung itu sama ada senang atau masih susah. Senang di sini bermaksud penduduk itu sedikit berada - mungkin ada kebun getah dan sawah. Orang senang ini pula mungkin ada rumah besar sedikit dan anaknya berpelajaran tinggi, jadi dia dimasukkan ke dalam kategori satu.

Kategori dua pula tahap kehidupannya kurang senang sedikit, mereka ada kebun dan rajin bekerja. Kemudian, ada kategori tiga, yang barangkali adalah warga emas yang tidak berkemampuan. Mereka ini tidak ada tenaga hendak bekerja, golongan ibu tunggal dan tidak mempunyai tanah atau rumah sehingga menyebabkan menjadi kelompok miskin tegar.

Apabila kita berjaya kenal pasti mereka, baharu kita dapat tentukan bentuk kemudahan mahu diberi.

Bertitik tolak daripada situ, program kesejahteraan seperti bantuan baik pulih rumah dan kebajikan dapat disalurkan melalui ketua kampung, penghulu atau pejabat daerah.

S: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan keadaan semasa luar bandar khususnya dari segi infrastruktur asas?

J: Mengenai bekalan air dan elektrik di Semenanjung, saya rasa tidak berapa banyak masalah kerana kebanyakan kawasan sudah mempunyai jalan raya. Jadi kemudahan itu dapat dibawa masuk. Bagaimanapun, ada permintaan supaya jalan lintasan baharu dibina antara negeri, contohnya di antara Perak ke Kelantan. Namun, kita masih ada kelompok yang benar-benar memerlukan, contohnya masyarakat Orang Asli.

Di bawah KPLB, ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang memberi keutamaan kepada isu keperluan bekalan air dan elektrik, serta jalan raya di kawasan masyarakat itu. Jalan di kawasan penempatan Orang Asli dan kawasan kampung lain juga sebenarnya sudah lama ada, mungkin 10 tahun lalu sudah dibina. Jadi ia memerlukan penyelenggaraan atau naik taraf. Di sini, Ketua Kampung perlu memainkan peranan dengan menulis surat kepada pegawai daerah memohon jalan kampung diturap baharu dan KPLB sedia bantu mereka.

Kemudian, di bawah program kesejahteraan rakyat, kita juga perlu bina lampu jalan di kampung yang selama ini gelap. Ada peruntukan khas untuk program ini membabitkan lebih RM100 juta untuk selenggara dan pembinaan baharu. Semua ini menjadi keutamaan KPLB, tetapi perlu dibahagi ke kawasan yang ada keperluan mendesak dan boleh membantu menyelesaikan masalah penduduk kampung itu.

S: Bagaimanakah pula dengan Sabah dan Sarawak?

J: Sabah dan Sarawak kita bahagikannya kepada dua kategori - luar bandar dan pedalaman. Pedalaman ini kawasan susah untuk sampai, perlu naik bot atau melalui jalan balak dan kemudian, lalu pula jalan hutan untuk sampai ke kampung. Di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak ini, penduduknya masih memerlukan jalan luar bandar dan masih banyak perkara perlu dilakukan kerajaan, termasuk membaiki jalan desa yang menghubungkan antara kampung sehingga ke laluan besar.

Selain itu, penduduk di Sabah dan Sarawak juga masih memerlukan bekalan air dan elektrik kerana terdapat banyak perkampungannya berada di luar laluan bekalan. Keadaan ini menyebabkan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sukar dilaksanakan kerana kedudukan kampung terlalu jauh dan tiada tiang elektrik. Jadi, kita kena fikir kaedah lain, antaranya penggunaan tenaga solar dan hibrid atau bergantung kepada jana kuasa diesel. Di bawah KPLB, ada program pembinaan mini solar di kampung terpencil, termasuk di kawasan pulau kecil di Sabah. Pada saya, Sabah dan Sarawak perlu diberi lebih keutamaan kerana penduduknya masih memerlukan infrastruktur asas.

Perkara ini saya sudah bincangkan ketika kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, baru-baru ini. Hasil kedua-dua perbincangan itu sangat positif dan kita sedang melihat bagaimana KPLB dan kerajaan negeri dapat bekerjasama melaksanakan program pembangunan luar bandar. Kita juga memutuskan pembentukan task force teknikal komuniti, yang akan melihat bagaimana lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan.

S: Boleh ulas jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, adakah semakin jauh atau sebaliknya?

J: Saya melihat jurang itu tidak lagi ketara ketika ini. Kita boleh lihat banyak kejayaan dicapai masyarakat terutama golongan Bumiputera dan paling besar dalam bidang pendidikan. Kerajaan sudah menyediakan prasarana pendidikan mencukupi sehingga ada anak kampung mampu mendapat ijazah sarjana muda dan sarjana, malah sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Kemudian, ada anak kampung yang dapat peluang belajar di luar negara terutama di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga di bawah KPLB. Ramai asalnya dari luar bandar kini berjaya menjadi teknokrat dan profesional dalam bidang masing-masing. Ada menjadi doktor, jurutera, peguam dan akauntan. Ini bermakna usaha kerajaan memberi pendidikan kepada anak kampung, termasuk anak Orang Asli berjaya mencapai kejayaan, malah di Kedah kejayaan sama turut dinikmati masyarakat keturunan Siam.

Ketika ini, di kampung kita boleh temui rumah yang ada anak yang dapat peluang belajar sehingga universiti. Contohnya, di Padang Terap (Kedah) ada 143 kampung, saya tahu ada anak yang berjaya belajar hingga ke Universiti Oxford dan Cambridge, ada juga yang belajar di Universiti Malaya dan kini menjadi pensyarah, doktor serta pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Isunya, kita tidak ada ukuran tepat dalam menyatakan jurang itu. Umum perlu mengubah cara pemikiran apabila mengaitkan kehidupan kampung sebagai miskin atau orang di kampung tidak sama orang bandar. Memang ada orang di kampung miskin, tetapi tidak boleh katakan mereka mundur sepenuhnya.

S: Masalah keciciran dan isu sosial lain sering dikaitkan dengan luar bandar?

J: Isu sosial ini ada kaitan masalah kesedaran dalam masyarakat, tetapi peratusannya tidak besar. Mungkin ada masalah keluarga seperti ibu tunggal terpaksa jaga anak yang ramai selepas suami meninggal atau mereka berpisah, maka ada kesan kepada kehidupan mereka. Jadi, secara tidak langsung boleh berlaku masalah sosial sehingga anak terbiar dan menimbulkan masalah lain pula. Jadi kita perlu bantu mereka dan satu kaedahnya adalah melalui pendidikan serta meningkatkan peluang ekonomi.

S: Apakah yang boleh dilakukan KPLB bagi membantu anak muda luar bandar?

J: Bagi yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka boleh memohon masuk ke laluan akademik di universiti tempatan atau mengikuti program matrikulasi, selain memohon tajaan MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau PETRONAS untuk ke luar negara. Namun, bagi yang tersangkut peringkat SPM masih ada ruang terutama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kita dapati semakin ramai anak kampung memilih bidang ini, malah ada antara mereka berjaya mencapai kejayaan dan menjadi usahawan.

Di setiap kawasan Parlimen kini ada Giat MARA yang boleh mereka mohon masuk, selain itu ada Institut Kemahiran MARA (IKM), Politeknik MARA, Kolej Pengajian Tinggi MARA (KPTM) dan seterusnya ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang semuanya di bawah MARA. Peluang ini adalah laluan TVET dan banyak kisah kejayaan pelajarnya boleh dilihat di bandar besar apabila banyak perniagaan bengkel kereta kini diusahakan bekas pelajar automotif Giat MARA. Begitu juga dalam bidang fesyen, mereka bermula dari bawah sehingga berpeluang belajar di peringkat tertinggi dan membuka perniagaan di Kuala Lumpur.

Kita juga ada banyak bidang lain boleh diceburi anak muda seperti bidang perkapalan, penerbangan, minyak dan gas (O&G) serta kejuruteraan. Malah, ada bekas pelajar IKM yang berasal dari kampung kini meraih pendapatan lima angka di Dubai dalam bidang O&G, walaupun asalnya mendapat keputusan Sijil Am Pelajaran sahaja.

S: Bagaimanakah pula nasib anak muda yang memilih kekal di kampung?

J: Dalam kehidupan ada dua perkara - ilmu yang diperoleh dan dedikasi dalam melakukan kerja. Kerajaan boleh bantu sediakan kemudahan, tetapi untuk letak semua kepada kerajaan tidak boleh dan tidak akan ada kisah kejayaan. Dua perkara ini perlu digandingkan, contohnya mereka perlu ada cita-cita untuk jadi usahawan berjaya dan mendapat pendapatan tinggi. Jadi perkara sama perlu dimiliki mereka yang memilih berada di kampung dan kerajaan akan sedia bantu dengan kemudahan secukupnya.

Di negeri, kita ada agensi wilayah seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang berperanan memberi bantuan dalam sosial ekonomi dan keusahawanan termasuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ada penduduk kampung terima mesin jahit dan peralatan khusus, namun mereka perlu mempunyai dedikasi dalam memajukan diri sendiri.

Orang yang berjaya perlu ada motivasi untuk berjaya dan kerajaan akan dorong dengan memberi bantuan termasuk mendapatkan modal. Pinjaman boleh diperoleh melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional atau MARA sendiri. Jadi untuk capai kejayaan ada peluang, tetapi adakah orang itu sendiri bersedia atau tidak?

S: Ada dakwaan bantuan dan pinjaman sukar diperoleh, selain tiada pihak tampil membantu. Apakah pandangan Datuk Seri?

J: Struktur bantuan ini sebenarnya sudah lengkap, bermula pada peringkat ketua kampung yang paling rapat dengan penduduk, selepas itu ada penghulu, pegawai daerah, selain struktur melalui masjid kariah pula.

Di kampung ketika ini yang berusia antara 40-an hingga 50-an sekurang-kurangnya mesti ada SPM dan mereka sepatutnya tahu serba sedikit mengenai program dan saluran yang perlu dilalui bagi mendapatkan bantuan.

Cuma mungkin ada masalah dalam libat urus antara agensi dan penduduk, sekiranya tidak ada pegawai bertanggungjawab mahu masuk ke kampung dan bantu dalam urusan permohonan mereka.

Sepatutnya pegawai agensi ini ambil usaha masuk ke kampung dan daerah cari penduduk yang minat berniaga. Bermakna pegawai juga perlu proaktif mencari peniaga, bukannya hanya menunggu orang datang.

S: Mentaliti masyarakat luar bandar masih ada bimbang untuk bersaing. Bagaimanakah KPLB membantu mereka?

J: Untuk ubah mentaliti ini paling berjaya adalah melalui pendidikan. Kita boleh lihat sejak negara mencapai kemerdekaan kita baru ada empat generasi. Generasi pertama duduk di kampung dan tidak mendapat pendidikan formal, generasi kedua bersekolah dan berjaya menjadi guru serta berpindah ke bandar.

Generasi ketiga pula membesar di bandar, bekerja sebagai jurutera dan mendapat pendidikan tinggi sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, manakala generasi keempat lahir di bandar raya sehingga mampu melanjutkan pengajian ke luar negara. Jadi kemampuan untuk berubah bagi masyarakat luar bandar itu ada, malah sudah dibuktikan hari ini.

S: Capaian internet luar bandar masih rendah, bagaimanakah Datuk Seri melihat cara mengatasinya?

J: Apabila saya masuk ke KPLB, baru saya tahu bahawa isu capaian internet ini di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan terdapat program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menguruskan usaha ini. Apa yang kita perlu buat adalah bekerjasama dengan dua pihak ini dalam mencari apa teknologi boleh diguna bagi membolehkan capaian internet dipertingkat segera di luar bandar.

Di bandar kita sudah ada optik fiber, tetapi ia tidak sampai di kampung, jadi perlu ada kaedah lain yang perlu digunakan dalam masalah ini.

Kita bukan mahu sehingga kelajuan satu gigabait sesaat (Gbps) di kampung, tetapi memadai jika dapat 200 megabait sesaat (Mbps), baru anak muda terasa tidak perlu ke bandar atau usung komputer riba ketika mencari liputan talian internet.

Berita Harian X