Ahad, 28 November 2021 | 12:02pm

2 pelan dilancar perkukuh perpaduan Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 bakal memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop lebih luas serta inklusif berteraskan Rukun Negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan dua pelan itu akan dapat mengukuhkan lagi perpaduan sedia terjalin dalam Keluarga Malaysia.

"Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah usaha untuk mengembalikan impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

"Rukun Negara adalah dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

"Ia bertujuan membina perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum, menerusi prinsip yang terkandung di dalamnya.

"Justeru, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menteri, Datuk Halimah Mohamed Sadique, akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop lebih luas dan inklusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menunjukkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara selepas melancarkannya di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Keluarga Malaysia 2021-2025 Kementerian Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menunjukkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara selepas melancarkannya di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Keluarga Malaysia 2021-2025 Kementerian Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Yang turut hadir ialah Halimah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dilaksana berlandaskan lima strategi penting.

Teras strategik berkenaan ialah memelihara sistem demokrasi Raja Berperlembagaan; dan membentuk masyarakat yang menghargai serta mengamalkan perpaduan.

Seterusnya, memperkasakan sosioekonomi yang adil dan saksama; menjamin keterbukaan serta toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan; serta membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

Perdana Menteri berkata, pelan induk program perpaduan itu menggariskan 57 program bagi mencapai lima teras strategik yang ditetapkan.

"Ia bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata. Pelan tindakan ini adalah satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting terbabit.

"Syabas dan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana merealisasikan konsep Keluarga Malaysia dalam bentuk program yang spesifik serta konkrit untuk memperkasakan perpaduan dan integrasi nasional," katanya.

Beliau berkata, pelan itu dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi pada peringkat pusat, negeri dan akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bergambar pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bergambar pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025, hari ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique melihat pameran Pelan Tindakan Perpaduan Negara. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique melihat pameran Pelan Tindakan Perpaduan Negara. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Katanya, ia mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosiobudaya, sains, teknologi dan inovasi.

"Saya menyeru kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini, untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.

"Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur atas apa yang kita peroleh seharian untuk membentuk kesepaduan serta keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 bermatlamat merakyatkan perpaduan dengan memberi tumpuan kepada empat dimensi menerusi KAMI, iaitu karib, aksesibiliti, majmuk dan inklusiviti.

"Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian membabitkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara, menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha mencemarkan perpaduan di negara ini.

"Pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif," katanya.

Berita Harian X