Sabtu, 27 November 2021 | 3:35pm
MN perlu terus kekal jadi wadah pertemuan UMNO dan PAS bincang isu umat Islam dan orang Melayu - Mohamad. FOTO NSTP
MN perlu terus kekal jadi wadah pertemuan UMNO dan PAS bincang isu umat Islam dan orang Melayu - Mohamad. FOTO NSTP

MN arena UMNO, PAS bincang kemaslahatan umat

PUTRAJAYA: Muafakat Nasional (MN) perlu terus kekal untuk menjadi arena kepada UMNO dan PAS bertemu serta berbincang mengenai kemaslahatan ummah di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun PAS menganggotai Perikatan Nasional (PN) manakala UMNO kekal dalam Barisan Nasional (BN), ia tidak bermakna MN akan ditinggalkan dan tidak relevan.

"Bagi UMNO, biarlah MN menjadi wadah boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik PAS dan UMNO. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan PAS tidak boleh terus terbelenggu dengan MN sekiranya pakatan itu hanya membabitkan parti itu dan UMNO saja.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS juga menolak sebarang fahaman cuba menafikan keperluan gagasan seperti Perikatan Nasional (PN) untuk menangani masyarakat majmuk di negara ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menyifatkan pembentukan PN menyebabkan MN 'tidak lagi berseri' selain tidak ada daya penarik dan seperti tidak ada erti.

"Yang jelas UMNO tidak pernah membelakangi dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba UMNO kukuhkan dari segenap aspek.

Beliau berkata, ketika MN digagaskan, UMNO sangat jelas dengan tujuannya iaitu bagi mempertemukan dua parti Melayu dan menjadi wadah ke arah kesatuan serta penyatuan yang jujur dan ikhlas.

Katanya, wadah itu seharusnya menjangkaui politik dan perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan.

Atas faktor itu katanya, UMNO sejak awal lagi tidak mahu MN ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik, walaupun didesak pelbagai pihak dalam UMNO dan PAS.

Tambah beliau, ada sebahagian daripada individu yang sebelum ini pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa sehingga melupakan mantera perpaduan ummah dan laungan penyatuan merentas politik.

"Ramai dilihat mula dibuai 'kerusi empuk' dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan menyebabkan MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan.

"Seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu selamat dalam dakapan PN. Perpaduan ummah itu penting, tetapi ia harus diperjuangkan secara berterusan dan terangkum. Bukan bermusim.

"Ia mesti diusaha dan dijayakan sepanjang masa. Bukannya sekadar berbincang dan bermesyuarat demi sebuah pilihan raya dan menguasai Putrajaya semata-mata," katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, permuafakatan MN juga harus praktikal dan realistik kerana UMNO dan PAS adalah parti politik memiliki perbezaan kepentingan politik.

Beliau berkata, berikutan itulah UMNO tidak pernah mengajak Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR mahupun PBB di Sarawak menyertai MN kerana ia realistik dan memahami sejarah PAS dengan AMANAH serta menghargai kelainan PKR dan PBB.

Katanya, apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya mengesahkan PAS memilih PN, sekali gus menyebabkan UMNO 'terluka' walaupun terbuka menerima keputusan itu.

"UMNO sejak awal faham ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara PAS dan BERSATU manakala PAS tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima BERSATU kerana kami adalah seteru politik," katanya.

Berita Harian X