Jumaat, 26 November 2021 | 1:57pm

Syor tiga langkah atasi kemerosotan simpanan KWSP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Sekerja lndustri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM) mencadangkan kerajaan melaksanakan tiga langkah dalam usaha menangani isu kemerosotan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agung KSIEWUSM, A Divid, berkata langkah pertama adalah dengan membatalkan segera keputusan melanjutkan pelaksanaan pengurangan kadar caruman akibat COVID-19 yang bertujuan untuk mengurangkan beban majikan dan pekerja.

Langkah kedua pula katanya, adalah dengan menaikkan kadar caruman bagi kedua-dua pihak pekerja dan majikan mulai 1 Januari 2022 dalam usaha meningkatkan kadar simpanan jangka panjang.

"Langkah ketiga adalah kerajaan perlu memperuntukkan sumbangan pengganti bagi mengisi semula simpanan ahli KWSP yang sudah mengeluarkan lebih RM101 bilion atas nama bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan sejak tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, KWSP gusar mengenai risiko majoriti pencarum berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 memburukkan keadaan apabila jumlah simpanan tidak mencukupi.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilaporkan berkata, perkara itu bukan hanya memudaratkan kehidupan individu, tetapi landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga mencabar.

Mengakui perkara itu, Divid berkata, kenyataan oleh Pengerusi KWSP itu cukup merisaukan dan menggusarkan kepemimpinan kesatuan sekerja.

Beliau berkata, sebagaimana disebutkan Ahmad Badri, perlindungan sosial adalah hak asasi manusia merangkumi semua bentuk pekerjaan sama ada sektor formal atau tidak.

"Justeru KSIEWUSM menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob, yang bersandarkan kepada slogan Keluarga Malaysia memandang serius kegusaran Pengerusi KWSP dan beberapa kesatuan termasuk Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)," katanya.

Divid berkata, pihaknya juga terkilan dan sedih melihat aset pelaburan KWSP merosot menjadi RM989.14 bilion pada Jun 2021 selepas kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.

Katanya, pakej itu menyebabkan pencarum menjadi 'miskin' secara tiba-tiba akibat pengeluaran besar-besaran dari KWSP.

"Pencarum bukan sahaja terkesan akibat pandemik COVID-19, namun kehidupan mereka bertambah buruk selepas pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan pada 2020.

"Jadi siapa harus memikul tanggungjawab atas perkara ini?" katanya.

Berita Harian X