Jumaat, 26 November 2021 | 11:37am
Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Penjawat awam perlu berminda terbuka terima, laksana pembaharuan

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu berminda terbuka dan positif dalam menerima serta melaksanakan pembaharuan dasar atau peraturan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pembaharuan serta perubahan itu sangat penting terutama dari segi amalan dan prosedur bekerja supaya perkhidmatan kepada rakyat dan sektor perniagaan tidak terjejas, malah boleh dipertingkatkan lagi.

Beliau berkata perkhidmatan awam hari ini juga perlu bergerak secara tuntas dan strategik dalam mendepani cabaran pasca COVID-19.

Menurutnya, sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, mereka perlu sentiasa memastikan rekod perkhidmatan diuruskan secara teratur.

Katanya, melalui cara itu penjawat awam dapat mengurangkan masalah timbul pada masa depan berkaitan urusan persaraan.

"Penjawat awam juga bertanggungjawab untuk mengemaskini maklumat peribadi dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) supaya maklumat ini direkodkan dengan sempurna," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diadakan secara maya hari ini.

Mohd Adib berkata, ketua jabatan juga berperanan penting dalam memastikan semakan Buku Kenyataan Perkhidmatan dengan penjawat awam dibuat secara berkala dan tidak boleh menganggap tugas yang diamanahkan itu sebagai tugas yang remeh.

Menurutnya, pada pembentangan Belanjawan 2022 Oktober lalu kerajaan juga telah mengumumkan Gantian Cuti Rehat (GCR) dinaikkan daripada maksimum 150 kepada 160 hari dan kemudahan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya berfikir dengan teliti sekiranya ingin menebus awal GCR.

Ini kerana walaupun kerajaan memberi akses kepada sumber kewangan namun ia bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan kewangan dengan cara berhemah serta berjimat cermat.

"Selaras saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam pelancaran Kempen Jom Semak pada 25 Oktober lalu, semua agensi kerajaan dinasihatkan untuk bersikap lebih kritikal dalam membuat semakan terhadap peraturan sedia ada yang lapuk agar tidak membebankan rakyat.

"Kempen ini kesinambungan daripada pelaksanaan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (National Policy on Good Regulatory Practice) bertujuan untuk mewujudkan sistem peraturan yang berkesan, cekap dan bertanggungjawab dalam menyokong usaha merealisasikan matlamat pembangunan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X