Khamis, 25 November 2021 | 5:52pm
DARI kiri; Chan Foong Hin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
DARI kiri; Chan Foong Hin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kerajaan digesa kembalikan MM2H bawah MOTAC

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meletakkan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta bukan dikelolakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perkara itu disuarakan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang berpendapat langkah meletakkan MM2H bawah KDN adalah tersasar daripada matlamat asal pelaksanaan program berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, langkah mengembalikan semula program terbabit kepada MOTAC juga dapat meringankan beban KDN.

"KDN ada banyak tugas lain berkaitan warga asing, terutama dalam menangani kebanjiran lebih empat juta pendatang asing tanpa izin ke negara ini," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat, hari ini.

Seterusnya, Foong Hin turut meminta kerajaan mengambil kira cadangan bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, supaya tempoh visa peserta MM2H dipanjangkan hingga 10 tahun bagi mengelakkan mereka daripada beralih ke negara lain.

"Jaminan visa 10 tahun ini juga perlu bagi meredakan kebimbangan peserta MM2H yang dikatakan keliru dengan beberapa pengumuman KDN sejak kebelakangan ini berhubung program itu.

"Perlu difahami, program MM2H memberi manfaat yang banyak kepada ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menggesa promosi pelancongan Malaysia di Indonesia ditingkatkan.

Beliau berkata, Indonesia adalah negara jiran yang hampir dengan Malaysia tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik kedatangan pelancong dari republik itu.

"Saya difahamkan hanya tiga juta pelancong dari negara itu datang ke Malaysia, sedangkan potensinya besar jika dilihat dari segi jumlah penduduk Indonesia.

"Perkara sama juga berlaku dengan pelancong kita ke Indonesia, iaitu jumlahnya masih kecil dan perlu ditingkatkan lagi," katanya.

Beliau turut mencadangkan peningkatan pembangunan infrastruktur industri pelancongan di luar bandar, termasuk kemudahan penginapan dan inap desa.

"Industri pelancongan berpotensi membangunkan ekonomi luar bandar kerana ada banyak produk pelancongan di kawasan itu.

"Kawasan pantai, tasik, sungai, bukit bukau dan hutan terletak di luar bandar.

"Seperti di kawasan Parlimen saya, amat sayang sekali dan sudah banyak kali saya memberitahu kerajaan negeri mengenai Kompleks Sejarah Pasir Salak yang kini terbiar.

"Kalau tidak salah saya, ia ketika dibangun membabitkan peruntukan RM40 juta. Sayang, kini kompleks dan resort itu terbiar begitu saja di tepi sungai," katanya.

Turut mengambil bahagian berbahas ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang meminta kerajaan tidak menutup pejabat pelancongan di luar negara.

Beliau berkata, langkah itu akan merugikan negara dan tidak dapat menyelamatkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"Industri pelancongan terjejas teruk dan inilah masa untuk kita membangunkannya semula walaupun negara belum beralih ke fasa endemik.

"Tidak cukup langkah promosi secara maya saja, kita perlu mengadakan pertemuan bersemuka untuk menjual produk pelancongan negara, terutama di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China," katanya.

Berita Harian X