Khamis, 25 November 2021 | 2:09pm
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto NSTP
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto NSTP

Indeks Pelopor negara pulih September lalu

KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP) negara kembali pulih pada September lalu berikutan kelonggaran aktiviti ekonomi seiring dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata IP merekodkan peningkatan 0.6 peratus kepada 110.5 mata pada bulan rujukan, berbanding 109.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan IP disokong, terutama oleh kenaikan dalam Import Benar Semi Konduktor yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan.

"Selaras dengan itu, IP terus tumbuh kepada 4.0 peratus berdasarkan perbandingan bulanan dan pertumbuhan ini disokong secara signifikan oleh prestasi yang lebih baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain yang meningkat 1.6 peratus dan Import Benar Semi Konduktor (1.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, prestasi IP yang menggalakkan menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik dalam tempoh terdekat.

"Melangkah ke hadapan, pengumuman Belanjawan 2022 bercirikan

pengembangan dengan tema 'Keluarga Malaysia Sejahtera' dijangka akan mengurangkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul," katanya.

Mohd Uzir berkata, Prestasi Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan 0.3 peratus pada September daripada penurunan 1.6 peratus yang direkodkan pada Ogos.

"Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS meningkat 3.9 peratus pada bulan itu disokong oleh semua komponen IS dengan positif terbesar daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (1.5 peratus)," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, beliau memberi penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020.

"Bagi mereka yang masih belum berkesempatan mengisi borang soal selidik bancian, sila hubungi DOSM di talian 1-800-88-7720 untuk maklumat lanjut.

"Aktiviti Semakan Kualiti (QC) dan Survei Penilaian Liputan Banci (SPLB) bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) sedang dilaksanakan sepanjang November dan Disember tahun ini," katanya.

Berita Harian X