Khamis, 25 November 2021 | 10:18am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP

Kemerosotan indikator peraturan perniagaan tuntut reformasi - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR : Indikator peraturan perniagaan di negara ini telah menunjukkan trend kemerosotan yang ketara dalam tempoh 10 tahun lepas iaitu dari kedudukan ke-19 pada 2010 kepada kedudukan ke-47, tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kemerosotan indikator itu menuntut reformasi peraturan memandangkan peraturan perniagaan adalah salah satu petunjuk penting pencapaian kecekapan kerajaan.

Katanya, reformasi itu juga penting kerana kerajaan telah meletakkan sasaran untuk berada di antara sembilan ekonomi terbaik dunia untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan dalam Laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) yang diterbitkan oleh Institut Pebangunan Pengurusan (IMD).

"Dalam mencapai sasaran ini, pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti (EBP) perlu digalakkan.

"EBP akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) bertemakan Lonjakan Produktiviti Melalui Peraturan Berkualiti yang berlansgung secara maya, hari ini.

Turut menyertai persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi MPC, Ram Ganesan Karthigasu dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Perdana Menteri, berkata dasar dan peraturan yang berkualiti melalui GRP bakal memudahcara operasi perniagaan, meningkatkan ketelusan dan meminimumkan bebanan kos serta sumber sekaligus membolehkan industri berkembang dengan lebih dinamik dan anjal untuk kekal berdaya saing.

Beliau menjelaskan, menjadi asas kepada pelaksanaan GRP ialah pendekatan 'keseluruhan kerajaan' yang menitikberatkan kerjasama rapat dan bersepadu semua kementerian, agensi, dan jabatan.

Katanya, untuk impak menyeluruh, pembabitan pihak swasta, industri dan komuniti perniagaan dalam GRP juga akan dipertingkatkan.

Beliau turut menekankan bahawa prinsip, elemen dan proses dalam kaedah GRP mesti diterima pakai oleh semua kementerian dan agensi pengawal selia dalam penggubalan dan semakan dasar serta peraturan.

"Elemen GRP antaranya Analisis Impak Peraturan, Analisis Kos Faedah dan Penilaian Notifikasi Peraturan mesti dilaksanakan dengan teliti.

"Data dan maklumat yang terangkum harus membuktikan bahawa tindakan peraturan benar-benar membawa kepada kesejahteraan rakyat.

"Dengan penguatkuasaan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) bermula 22 Jun 2021, Ketua Setiausaha Negara akan bekerjasama dengan semua Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah agensi dan jabatan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan NPGRP yang menyeluruh," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, berkata GRP juga dapat menjamin kualiti dasar dan peraturan yang bakal menjadi pemacu kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau, berkata kemakmuran negara terutamanya dalam era memerangi pandemik telah dicerminkan melalui tema dua dokumen ekonomi utama mutakhir ini iaitu 'Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan' dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dalam Bajet 2022.

Katanya, dalam usaha pemulihan negara, pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dijana untuk menyokong pertumbuhan semula ekonomi yang dijangka kukuh pada kadar 5.8 peratus pada 2022, menurut unjuran Bank Dunia dan 6.0 peratus menurut International Monetory Fund (IMF).

"Selain itu, kadar peningkatan produktiviti juga dititikberatkan dalam pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

"Dalam tempoh RMK12, produktiviti buruh diunjurkan meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun berbanding 1.1 peratus setahun sepanjang tempoh RMK11," katanya.

Berita Harian X