AMPANG JAYA: Polis menerima sebanyak 117 laporan daripada orang ramai yang terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya juga mendirikan balai bergerak di dalam pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan mangsa membuat laporan polis.
"Sepanjang kejadian banjir tiada kemalangan jiwa berlaku. Setakat ini, anggaran kerosakan masih belum diterima.
"Polis menerima maklumat daripada orang awam pada jam 8.23 malam kelmarin mengatakan kejadian banjir berlaku di Kampung Pinggiran dan Lembah Jaya Utara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, sejurus menerima laporan lima pegawai dan 40 anggota diarahkan mengawal keselamatan dan kawalan lalu lintas di kawasan yang terjejas.
"Kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Pinggiran 3, Kampung Lembah Jaya Utara membabitkan 206 unit rumah dan 1,019 mangsa.
"Mangsa yang terbabit ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Lembah Jaya Utara yang dijadikan PPS," katanya.