Rabu, 24 November 2021 | 9:11am
Anggota Angkatan Pertahan Awam Malaysia melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir di daerah Kota Setar.- Foto NSTP/Ihsan APM
Anggota Angkatan Pertahan Awam Malaysia melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir di daerah Kota Setar.- Foto NSTP/Ihsan APM

Mangsa banjir meningkat di Kedah

ALOR SETAR: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Setar, malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung yang menempatkan 39 mangsa daripada 14 keluarga.

Ia menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah seramai 92 mangsa daripada 25 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS termasuk dua daripadanya di daerah Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata PPS di SK Gunung dibuka jam 10 malam tadi selepas paras air semakin meningkat akibat hujan renyai semalam.

Beliau berkata, trend air yang semakin naik menyebabkan penduduk Kampung Alor Gunung dipindahkan ke PPS berkenaan.

"Bagaimanapun, pemantauan turut dilakukan di kawasan Kampung Lapangan Terbang di Kepala Batas, Kampung Titi Gajah dan Kampung Alor Gunung, di sini yang terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu Mohd Muaz berkata, dua PPS di daerah Kubang Pasu masih kekal seramai 58 mangsa daripada 12 keluarga sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Lahar di daerah Kubang Pasu masih kekal seramai 22 mangsa daripada empat keluarga.

"PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang menempatkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Ini ditambah pula dengan satu PPS di daerah Kota Setar yang dibuka sejak jam 10 malam tadi menjadikan keseluruhan PPS adalah tiga buah di dua daerah di negeri ini " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X