AMPANG: Pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai turut menjadi punca menyebabkan banjir lumpur di Kampung Lembah Jaya Utara di sini semalam.
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tanah yang tergelongsor dari projek EKVE berhampiran masuk ke Sungai Ampang mengakibatkan sungai berkenaan menjadi cetek.
Keadaan sungai yang cetak mengakibatkan ia tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak sehingga melimpah kerana hujan lebat selama lima jam semalam.
"Lumpur disebabkan pembinaan EKVE. Jadi tanah terlonggok (dari projek itu) masuk dalam longkang dan (mengalir) ke sungai. Bila hujan, hujan tarik tanah masuk ke dalam sungai sehingga menyebabkan sungai cetek dan itu (banjir lumpur) berlaku.
"Saya difahamkan hujan (semalam) selama lima jam. Ia menghasilkan 140 milimeter (mm) yang mana Sungai Ampang hanya boleh menampung sebanyak 60mm. Jadi dua kali ganda dan ia mengakibatkan air melimpah keluar sehingga terjadi banjir kerana ada lumpur pembinaan yang tersangkut dalam sungai, longkang dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pangsapuri Desa Lembah Permai dan sekitar kampung yang terjejas petang semalam.
Ini adalah kali ketiga banjir di kawasan itu selepas tahun 2007 dan 2012.
Zuraida berkata bagaimanapun pada kali ini, banjir tidak seteruk tahun sebelumnya kerana air tidak dilepaskan dari empangan.
Berhubung kemusnahan infrastruktur dan harta benda penduduk akibat banjir lumpur di kawasan itu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya akan membincangkan dengan pihak EKVE mengenai hal itu sekiranya membabitkan kerosakan secara teruk.
Mengulas tindakan yang mungkin akan diambil terhadap EKVE, Zuraida meminta supaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk melihat perkara itu sama ada ada berlaku kecuaian dilakukan syarikat berkenaan.