Selasa, 23 November 2021 | 7:25pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Pencarum KWSP mungkin miskin masa tua

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) gusar mengenai risiko majoriti pencarum berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 memburukkan keadaan menyebabkan jumlah simpanan mereka tidak mencukupi.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, perkara ini bukan hanya memudaratkan kehidupan individu, tetapi landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga mencabar.

Beliau berkata, pada masa ini 48 peratus pencarum KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.

Katanya, ini peningkatan 28 peratus ahli KWSP yang mempunyai simpanan amat kritikal berbanding sebelum pandemik.

"Dengan jangka hayat rakyat Malaysia mencapai usia 75 tahun dan ahli KWSP mula mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun, simpanan yang ada perlu mencukupi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

"Dalam perkara ini, dengan simpanan median kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun berjumlah RM13,000, bermaksud RM54 sebulan untuk tempoh persaraan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang berlangsung secara maya dan fizikal hari ini.

Ahmad Badri berkata, simpanan median ahli KWSP pada usia 54 tahun pada RM38,000 pula bermaksud RM159 sebulan untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Katanya, dalam usaha ahli untuk mendapatkan semula jumlah kehilangan daripada pengeluaran berkaitan COVID-19, mereka perlu bekerja untuk tempoh tambahan empat ke enam tahun.

Sehingga 31 Oktober lalu, sejumlah RM101.1 bilion dikeluarkan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Ia adalah 22 peratus daripada program rangsangan kerajaan berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Berkaitan isu kecukupan, Ahmad Badri berkata, perlindungan sosial adalah hak asasi manusia untuk semua, yang merangkumi semua bentuk pekerjaan, sama ada sektor formal atau tidak.

"Secara kasarnya, hanya tiga daripada 10 orang dewasa di Malaysia dilindungi perlindungan sosial seperti skim pencen kerajaan dan perlindungan KWSP.

"Kami melihat hanya 7.5 juta daripada 23.5 juta populasi pada usia bekerja pada ketika ini menetap di negara ini.

"Pandemik ini juga telah merubah landskap pekerjaan ke arah tidak formal. Peningkatan dalam golongan bekerja sendiri dan tidak formal dijangka akan meningkat daripada 5.7 juta masa ini kepada 8.8 juta pada tahun 2040," katanya.

Dalam menangani kecukupan simpanan dan pendapatan persaraan, beliau berkata, negara memerlukan penyelesaian yang meluas, meliputi program jaringan keselamatan berkesan, sistem perlindungan kitaran hayat sosial komprehensif, dasar pasaran buruh dan gaji teguh, pertumbuhan ekonomi mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga buruh, selain dasar menggalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti.

"Dalam konteks ini, KWSP ingin menyumbang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kami amat menyokong inisiatif Bajet 2022 kerajaan bagi menambah program i-Saraan dengan memasukkan mereka yang berusia 55 ke 60 tahun.

"Ini akan menjadikan i-Saraan lebih menarik kepada mereka yang berada dalam sektor tidak formal untuk menabung untuk persaraan mereka," katanya.

Caruman Sukarela Insentif Suri, atau i-Suri yang disepadukan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dijenamakan semula 'Kasih Suri Keluarga Malaysia', membolehkan suri rumah dan balu berdaftar di bawah sistem e-Kasih, mendapat akses kepada keselamatan sosial. – BERNAMA

Berita Harian X