Isnin, 22 November 2021 | 6:58pm

Penerima bantuan JKM beli barangan tanpa tunai

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluaskan Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke seluruh negara menjelang 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata menerusi program itu, setiap penerima bantuan JKM akan diberikan satu kad dikenali sebagai JKMPay untuk membeli barangan keperluan harian di premis terpilih.

Beliau berkata, program itu sudah dimulakan secara rintis selama enam bulan bermula Februari lalu membabitkan beberapa daerah di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Melaka.

Katanya, ia diperluaskan ke tiga negeri lain dalam Fasa 1 iaitu Terengganu, Kelantan dan Selangor selain tiga negeri yang berada dalam program rintis sebelum ini.

"Setakat ini, hampir 2,000 penerima JKM dengan lebih 400 premis sudah menyertai program ini dan ia akan bertambah dari masa ke semasa.

"Fasa 2 pula dijangka bermula pada awal tahun depan membabitkan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala Fasa 3 dijangka bermula pada 2023 membabitkan negeri seperti Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

"Pelaksanaan program ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada penerima bantuan JKM terbabit dalam aktiviti ekonomi digital selain memantapkan penyaluran bantuan kewangan melalui kaedah bayaran tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai (Cashless) di Taman Sinar Harapan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat, Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed.

Mengulas lanjut, Rina berkata, program berkenaan adalah kolaborasi strategik di antara kerajaan dengan pihak swasta dalam meningkatkan perkhidmatan JKM dan memastikan bantuan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelangsungan hidup.

Katanya, kementerian sentiasa mengalu-alukan dan membuka peluang kepada institusi kewangan di Malaysia untuk bekerjasama dengan berkongsi perkhidmatan yang boleh ditawarkan di samping menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk keselesaan golongan memerlukan.

"Sehingga kini, kita sudah membantu seramai 513,826 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.

"Daripada jumlah itu,seramai 41,673 daripadanya membabitkan penerima bantuan di Terengganu dengan peruntukan kira-kira RM125 juta," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada majis pelancaran peluasan Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai Peringkat Terengganu di Taman Sinar Harapan. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada majis pelancaran peluasan Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai Peringkat Terengganu di Taman Sinar Harapan. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X