Isnin, 22 November 2021 | 6:29pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Netizen sambut baik jadual baharu SPM 2021

KUALA LUMPUR: Warga netizen memberi reaksi positif apabila Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan akan mengeluarkan jadual baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam tempoh terdekat.

Antaranya mengatakan maklum balas itu amat dihargai berikutan ibu bapa dan guru lazimnya mempunyai banyak urusan pada minggu terakhir cuti penggal persekolahan.

Pengguna Facebook, Ahmad Firdaus Abdullah, berharap pelaksanaan ujian lisan, amali sains tidak dilakukan pada minggu terakhir persekolahan memandangkan pihak sekolah perlu menguruskan pemulangan buku teks, pentaksiran akhir penggal persekolahan, penyediaan dokumen untuk akhir penggal persekolahan.

"Saya berharap dikosongkan segala urusan peperiksaan SPM 2021 (ujian lisan, amali sains dan sebagainya) pada minggu terakhir persekolahan penggal 3 nanti (20/21 hingga 24/25 Februari 2022).

"Banyak urusan akhir tahun yang perlu diselesaikan oleh guru dan murid bukan kelas peperiksaan pada tempoh itu seperti pemulangan buku teks, pentaksiran akhir penggal persekolahan, penyediaan dokumen untuk akhir penggal persekolahan dan sebagainya," katanya di ruangan komen hantaran video Facebook Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, hari ini.

Seorang lagi pengguna Facebook, Roshaya Mohd Sohor, mengatakan beliau bersyukur kerana Radzi mendengar pendapat calon, ibu bapa dan guru-guru.

"Syukur. Alhamdulillah. Terima kasih Datuk Dr Radzi Jidin kerana mendengar pendapat dan luahan rasa calon SPM 2021, ibu bapa dan guru-guru.

"Pihak LPM (Lembaga Peperiksaan Malaysia) diharap dapat berpijak di bumi yang nyata kerana anak-anak tahun 2004 ini menjadi tikus makmal sejak tahun 1 pada tahun 2011.

"Jangan membunuh masa depan mereka berdasarkan teori yang direka dalam PHD kalian," katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus Mohd Shabuddin yang menyatakan beliau Pengawas SPM 2021, berkata KPM juga perlu menanyakan kepada petugas sama ada mereka boleh menyesuaikan diri dengan sebarang jadual atau sebaliknya.

"Sekadar pendapat saya yang menjadi Pengawas SPM hampir setiap tahun. Biasakan yang biasa, jangan buat (membuat ) tindakan luar biasa yang membuatkan orang tak biasa," katanya.

Berita Harian X