Isnin, 22 November 2021 | 4:52pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kaji semula modul induksi penjawat awam OKU

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta untuk melihat cadangan penerapan modul berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kurikulum kursus induksi penjawat awam dan program transformasi minda bagi ketua jabatan.

Cadangan mengenai modul dan program transformasi minda itu adalah antara agenda yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), MKBOKU meminta JPA membincangkannya secara terperinci dan melihat kesesuaiannya dalam usaha meningkatkan kefahaman penjawat awam dan ketua jabatan mengenai OKU.

"Ia juga dapat menyumbang kepada peningkatan pencapaian dasar satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu.

KPWKM turut memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan majlis sambutan Hari OKU peringkat kebangsaan serentak dengan Hari OKU peringkat antarabangsa pada 3 Disember ini.

Tema Hari OKU peringkat antarabangsa tahun ini adalah 'Leadership and Participation of Persons with Disabilities Toward an Inclusive, Accessible and Sustainable Post-COVID-19 World' dan ia disesuaikan di peringkat nasional dengan mengambil kira perkembangan semasa OKU di Malaysia iaitu 'Kepimpinan dan Penyertaan OKU menuju Era Endemik COVID-19', menurut KPWKM.

Menurut kenyataan itu, sehingga 20 November lalu, seramai 4,797 OKU sudah mendaftar dengan sistem pendaftaran bagi golongan OKU iaitu MyDaftar OKU dan mendapat kad secara digital, manakala seramai 5,803 OKU menunggu untuk disantuni. – BERNAMA

Berita Harian X