Isnin, 22 November 2021 | 2:32pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Kepakaran, inovasi lonjak perkhidmatan awam berprestasi tinggi

PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam berprestasi tinggi dapat dicapai melalui penjawat awam yang berkaliber sebagai pemimpin, berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata transformasi perkhidmatan awam ke arah perkhidmatan berprestasi tinggi adalah antara inisiatif yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Beliau berkata, RMKe-12 juga bakal menyaksikan perkhidmatan kerajaan dalam talian dari mula hingga akhir (E2E) disasar meningkat kepada 80 peratus menjelang 2025.

Justeru, katanya, kakitangan profesion teknikal sektor awam perlu turut serta memainkan peranan membantu kerajaan merancakkan kembali ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Perkara berkenaan dapat direalisasikan melalui pembangunan modal insan yang inovatif dan berkemahiran tinggi, sekali gus mempercepatkan penghasilan inovasi dan adaptasi teknologi digital yang dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.

"Pandemik COVID-19 memperlihatkan impak yang mendalam kepada landskap sosio-ekonomi negara dan dalam konteks ini bidang teknikal juga tidak terkecuali.

"Ironinya, tidak dinafikan pandemik COVID-19 mempercepatkan gelombang perubahan teknologi dan perkembangan era pendigitalan di mana pengadaptasian teknologi digital memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan," katanya pada ucapan perasmian Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021 di Menara Kerja Raya di sini, hari ini.

Mohd Zuki berkata, terdapat beberapa bidang baharu atau apa yang disebut sebagai 'frontier technologies' yang perlu diterokai dengan lebih mendalam bagi kakitangan profesion teknikal antaranya kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), data raya, blockchain, 5G, cetakan 3D, robotik, dron dan teknologi nano.

"Frontier technologies ini, meskipun telah ada usaha-usaha untuk membangunkannya, masih memerlukan penelitian yang khusus dan mendalam oleh para pegawai dan kakitangan profesion teknikal untuk terus mencipta inovasi baharu demi manfaat rakyat dan kecemerlangan negara," katanya.

Beliau juga berkata, sambutan HPTN anjuran Kementerian Kerja Raya adalah satu inisiatif yang baik bagi memberi galakan dan melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal sebagaimana digariskan di dalam strategi Rancangan Malaysia ke-12.

"Sambutan ini juga adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada warga profesion teknikal dalam usaha membangunkan infrastruktur negara.

"Tema 'Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi' yang dipilih pada tahun ini adalah bertepatan dengan situasi peralihan ke fasa endemik ini," katanya.

Perkara itu, katanya, memerlukan kebersamaan semua pihak walaupun berbeza bidang, perlu menjadi satu keluarga yang dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab memulih dan merancakkan semula pembangunan ekonomi negara.

Berita Harian X