Isnin, 22 November 2021 | 11:54am
JAKIM akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU. - Grafik NSTP
JAKIM akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU. - Grafik NSTP

Kursus praperkahwinan online untuk OKU

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempertimbang kelas dalam talian kursus praperkahwinan Islam, bagi memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pelaksanaan kursus praperkahwinan melalui mekanisme terbabit akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU.

"Antara inisiatif yang sedang dipertimbang seperti penggunaan paparan grafik, penyediaan jurubahasa isyarat, rakaman video ceramah serta animasi.

"Semua inisiatif ini selaras dengan kandungan modul bersepadu kursus praperkahwinan Islam," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang meminta kerajaan sama ada berhasrat mewujudkan inisiatif lebih proaktif menangani kekangan golongan OKU dalam menghadiri kursus praperkahwinan.

Menjawab soalan asal Che Alias mengenai kerjasama rentas kementerian dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani mampu mencapai sasaran, Ahmad Marzuk berkata, JAKIM kini menggubal Pelan Tindakan OKU Muslim sebagai dukungan kepada Pelan Tindakan OKU Kebangsaan.

Katanya, ia juga selaras dengan dasar sedia ada iaitu Dasar OKU Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kerjasama rentas kementerian diadakan seawal perancangan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim yang disediakan menerusi Persidangan Meja Bulat pada 5 hingga 6 Ogos 2020.

"Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pemerkasaan OKU bersama-sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakatdan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut diadakan pada 17 September 2020," katanya.

Katanya, penggubalan pelan itu adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, sekaligus merupakan komitmen dalam usaha memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik mengenai Islam, di samping masyarakat cakna terhadap keperluan OKU Muslim.

Berita Harian X