Isnin, 22 November 2021 | 11:52am

Kerajaan digesa kembalikan wang pencarum KWSP B40, M40

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan memulangkan wang dikeluarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)B40 dan M40 melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra demi perlindungan ahli selepas persaraan.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata majoriti 7.4 juta yang mengeluarkan caruman adalah ahli KWSP B40 dan M40 dan meskipun ia memberi manfaat kepada ekonomi dan perniagaan, namun menyebabkan simpanan persaraan ahli yang tidak berkemampuan semakin menyusut.

Beliau berkata, KWSP ditubuhkan sebagai skim simpanan persaraan pekerja dan pengurusan simpanan persaraan bagaimanapun sejak pandemik, matlamat itu mula beralih malah menyebabkan penghakisan simpanan dalam badan berkanun itu.

"Aset pelaburan KWSP yang meningkat kepada RM1.02 trilion pada penghujung tahun lalu, merosot kepada RM989 bilion Jun tahun ini.

"Kerajaan yang menyebabkan kemerosotan simpanan persaraan pekerja B40 dan M40 melalui pakej rangsangannya, jadi wajar kerajaan menambah semula simpanan itu dengan memulangkan wang yang dikeluarkan.

"Kerajaan perlu cari kaedah bagi menambah semula simpanan itu demi perlindungan pencarum selepas bersara," katanya dalam kenyataan media.

Solomon berkata, pihak yang mendapat manfaat daripada pengeluaran pencarum KWSP adalah kerajaan dan majikan malah langkah melanjutkan pengurangan caruman daripada 11 peratus kepada 9 peratus melalui Belanjawan 2022, akan memburukkan isu simpanan persaraan pekerja.

Beliau berkata, kira-kira 6.1 juta pencarum KWSP kini hanya mempunyai simpanan kurang RM10,000 dan daripada jumlah itu, 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 sekali gus akan menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan dan tidak dilindungi ketika bersara.

Katanya, berdasarkan sasaran minimum RM240,000 simpanan perlu dimiliki ahli KWSP apabila mencapai umur 55 tahun, hanya tiga peratus sahaja ahli yang mampu bersara dan bertahan dengan simpanan mereka.

"Matlamat utama KWSP adalah melindungi simpanan persaraan pekerja dan ia tidak boleh digunakan untuk membiayai majikan yang menganiaya pekerja dan kegagalan melindungi pekerja adalah 'pengkhianatan besar' terhadap amanah diberi kepada Ahli Lembaga KWSP," katanya.

Pada masa yang sama, NUBE berpendirian Lembaga KWSP mesti memastikan wang ahli KWSP tidak digunakan untuk melabur secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan yang mengeksploitasi pekerja, menggalakkan usaha memusnahkan kesatuan sekerja atau tujuan politik.

Solomon berkata, setiap keputusan dibuat Lembaga KWSP mesti mengambil kira tanggungjawabnya mempertahankan dana ahli demi kesejahteraan pencarum pada hari tua mereka kerana Malaysia akan menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030.

"Lembaga KWSP perlu menanam keyakinan dalam kalangan ahli dan tidak digunakan sebagai sumber menyelamatkan perniagaan atau memperkukuhkan asas parti politik atas kos perbelanjaan pekerja," katanya.

Berita Harian X