Isnin, 22 November 2021 | 11:12am
Sebahagian pekan Teluk Intan dinaiki air berikutan berlakunya fenomena air pasang besar. - Foto hiasan BERNAMA
Sebahagian pekan Teluk Intan dinaiki air berikutan berlakunya fenomena air pasang besar. - Foto hiasan BERNAMA

Dana RM200 juta atasi kesan air pasang besar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menangani kesan fenomena air pasang besar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dana itu disalurkan bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku akibat fenomena berkenaan.

"Fenomena air pasang besar dianggap sebagai fenomena perubahan cuaca yang biasa kerana berlaku dalam tempoh yang panjang. Namun, kerajaan sentiasa memantau dan menyediakan peruntukan bagi mengatasi masalah yang berlaku.

"Peruntukan yang disediakan juga digunakan untuk menangani kes segera yang berlaku seperti kerosakan di kawasan pinggir pantai," katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lukanisma Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada fenomena air pasang besar disebabkan perubahan iklim.

Jeti Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang dinaiki air ketika air pasang besar. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Jeti Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang dinaiki air ketika air pasang besar. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan turut memperuntuk RM164 juta bagi mengatasi masalah hakisan pantai di seluruh negara.

"Ingin saya berkongsi berita gembira. Kerajaan memperuntuk RM11.5 juta bagi menangani masalah hakisan pantai di Kampung Kuala Sibuti.

"Peruntukan ini membabitkan kerja ukur reka bentuk dan pemantauan serta kerja lapisan lindung sepanjang 1.5 kilometer," katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (BERSATU-Alor Gajah) berkaitan isu banjir, beliau berkata, kerajaan mengguna-pakai tiga mekanisme dalam pengurusan banjir.

Katanya, mekanisme itu ialah pelan pembangunan bersepadu yang menjadi asas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil kita lembangan sungai sedia ada.

"Mekanisme kedua ialah pelaksanaan segera projek fizikal membabitkan kes banjir yang berlaku di kawasan tertentu, iaitu penyelenggaraannya diluluskan sepanjang waktu setiap tahun.

"Terakhir ialah pelan jangka panjang membabitkan kajian di seluruh lembangan sungai supaya implikasi pada masa depan dapat kita elakkan," katanya.

Berita Harian X