Kuala Lumpur: Kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang diterima baik oleh rakyat, dilihat turut menjadi antara faktor menyumbang kepada kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir, berkata ia turut didorong rasa puas hati dan keyakinan rakyat terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Bajet 2022 dan gagasan Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Naib Presiden UMNO itu.
Beliau percaya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat telah membuat penilaian terhadap corak kepemimpinan tiga kerajaan daripada blok parti berbeza dan akhirnya membuat pendirian bahawa BN masih yang terbaik.
"Faktanya, Perdana Menteri telah kemukakan banyak inisiatif dalam usaha meringankan beban rakyat ketika mereka berdepan masalah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat dapat melihat inilah pemimpin dan parti politik yang boleh mereka bergantung harap untuk masa depan lebih meyakinkan," katanya kepada BH, semalam.
Jeniri berkata, keyakinan rakyat itu sangat penting kerana mereka percaya bahawa BN dapat memberikan kestabilan kepada keadaan politik Melaka, enggan lagi melihat ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan tumpuan ke arah menangani pandemik COVID-19 dan peluang ekonomi khususnya dari segi peluang pekerjaan dan juga pelaburan.
"Ini dimanifestasikan melalui sokongan padu sehingga memungkinkan BN menang 21 kerusi yang bersamaan dengan pencapaian PRU-13," katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat dasar dan pendekatan Ismail Sabri antara faktor penyumbang kemenangan BN di Melaka dengan perubahan kepemimpinan kerajaan Pusat untuk diterajui pemimpin daripada UMNO dan BN turut memberi nilai tambah kepada parti itu dan jentera pilihan rayanya.
"Ini termasuklah beberapa perkara yang dibawa oleh beliau yang telah meredakan suasana politik melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang. Ia sekali gus membolehkan Ismail Sabri dan kerajaan memberi tumpuan kepada RMK-12, Bajet 2022 dan konsep Keluarga Malaysia," katanya.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata keputusan PRN Melaka menunjukkan pengundi mahu parti yang mempunyai tradisi kestabilan dengan tema kempen diketengahkan BN, iaitu 'Kestabilan Demi Kemakmuran' menjadi pelengkap kerana ia menepati kehendak pengundi.
"Kemenangan selesa BN ini menunjukkan pengundi telah memilih parti, tidak melihat kepada persoalan atau dakwaan berkaitan integriti calon. Mereka memilih parti yang ada rekod prestasi stabil sejak 61 tahun lalu, bertepatan dengan tema kempen BN di Melaka iaitu 'Kestabilan Demi Kemakmuran'," katanya.
KEPUTUSAN RASMI
KERUSI | PARTI | YANG MENANG |
N1 Kuala Linggi | BN-UMNO | ROSLI ABDULLAH |
N2 Tanjung Bidara | BN-UMNO | DATUK SERI AB RAUF |
N3 Ayer Limau | BN-UMNO | DATUK HAMEED BASHEER |
N4 Lendu | BN-UMNO | DATUK SERI SULAIMAN MD ALI |
N5 Taboh Naning | BN-UMNO | ZULKIFLEE MOHD ZIN |
N6 Rembia | BN-UMNO | DATUK MUHAMMAD JAILANI KHAMIS |
N7 Gadek | BN-MIC | P SHANMUGAM |
N8 Machap Jaya | BN-MCA | NGWE HEE SEM |
N9 Durian Tunggal | BN-UMNO | ZAHARI ABD KALIL |
N10 Asahan | BN-UMNO | FAIRUL NIZAM ROSLAN |
N11 Sungai Udang | PN-BERSATU | DR MOHD ALEEF YUSOF |
N12 Pantai Kundor | BN-UMNO | TUMINAH KADI @ MOHD HASHIM |
N13 Paya Rumput | BN-UMNO | DATUK RAIS YASIN |
N14 Kelebang | BN-MCA | DATUK LIM BAN HONG |
N15 Pengkalan Batu | BN-UMNO | DATUK KALSOM NOORDIN |
N16 Ayer Keroh | PH-DAP | KERK CHEE YEE |
N17 Bukit Katil | PH-AMANAH | ADLY ZAHARI |
N18 Ayer Molek | BN-UMNO | DATUK RAHMAD MARIMAN |
N19 Kesidang | PH-DAP | SEAH SHOO CHIN |
N20 Kota Laksamana | PH-DAP | LOW CHEE LEONG |
N21 Duyong | BN-UMNO | MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM |
N22 Bandar Hilir | PH-DAP | LENG CHAU YEN |
N23 Telok Mas | BN-UMNO | DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN |
N24 Bemban | PN-BERSATU | DR MOHD YADZIL YAAKUB |
N25 Rim | BN-UMNO | DATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR |
N26 Serkam | BN-UMNO | DATUK ZAIDI ATTAN |
N27 Merlimau | BN-UMNO | DR MUHAMAD AKMAL SALEH |
N28 Sungai Rambai | BN-UMNO | SITI FAIZAH ABDUL AZIS |
KEDUDUKAN TERKINI BAGI DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA:
- Barisan Nasional (BN) - 21 kerusi
- Pakatan Harapan (PH) - 5 kerusi
- Perikatan Nasional (PN) - 2 kerusi
Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my