Ahad, 21 November 2021 | 10:55pm
Antara kawasan dilanda banjir di Kubang Pasu. - Foto ihsan APM
Antara kawasan dilanda banjir di Kubang Pasu. - Foto ihsan APM

2 PPS aktif di Kubang Pasu

KUBANG PASU: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, menjadikan dua PPS kini aktif di daerah ini, setakat jam 8 malam tadi.

Dua PPS berkenaan ialah PPS Dewan Kampung Lahar dan PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata bagaimanapun hanya PPS Dewan Kampung Lahar menempatkan 28 mangsa daripada enam keluarga, hingga kini.

Beliau berkata, PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang yang dibuka jam 7 malam tadi pula belum ada mangsa banjir.

"Mangsa banjir di daerah ini masih kekal 28 orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dibuka Khamis lalu tetapi ditutup, kelmarin, selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang.

Namun, PPS itu dibuka semula hari ini sebagai persiapan sekiranya ada mangsa banjir akan berpindah.

Terdahulu media melaporkan, hujan lebat selama lebih dua jam pada petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.

Susulan itu, PPS Dewan Kampung Lahar dibuka pada malamnya dengan menempatkan mangsa banjir dari Kampung Lahar dan Kampung Paya Tok Keong.

Beberapa kawasan lain di sekitar daerah ini yang turut dinaiki air ialah Jalan Changlun - Jitra (hadapan Taman Jelutong) sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di kedua-dua arah di Lebuh Raya Jitra-Changlun, serta Jalan Kodiang - Changlun.

Berita Harian X