X
Ahad, 21 November 2021 | 6:39pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Kuantan. - NSTP/Asrol Awang
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Kuantan. - NSTP/Asrol Awang

Kerajaan sediakan 5,693 Pusat Pemindahan Sementara hadapi tengkujuh

KUANTAN: Sebanyak 5,693 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan 1.63 juta mangsa bencana disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula awal bulan ini hingga Mac depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 134 PPS adalah berkapasiti besar manakala 1,970 PPS berkapasiti sederhana dan 3,627 PPS pula berkapasiti kecil.

Katanya, semua pusat berkenaan membabitkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan RM7.35 juta yang diagihkan kepada semua negeri bagi tujuan pembelian barang keperluan asas dan makanan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

"Pada masa sama, KPWKM melalui JKM juga bersiap siaga dan sentiasa bersedia untuk menggerakkan sumber manusia seramai 20,467 orang iaitu masing-masing 5,299 pegawai JKM, 172 kaunselor dan pegawai psikologi, 1,867 sukarelawan kaunselor dan 13,129 sukarelawan JKM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Kuantan, di sini hari ini.

Dalam usaha mencegah penularan COVID-19, Rina berkata, KPWKM melalui JKM melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pusat Pemindahan Semasa COVID-19 yang dibangunkan bersama.

Katanya, ia membabitkan Agensi Pengurusan bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan dengan pengurusan bencana.

"SOP itu juga akan memberikan penekanan kepada aspek pengurusan catuan makanan di PPS yang akan dibuat secara bungkus, saringan kesihatan, penjarakan fizikal dan kebersihan," katanya.

Sistem Infobencara JKM 2.0 adalah aplikasi utama dalam pengumpulan dan pelaporan statistik mangsa bencana untuk kegunaan orang ramai dan pihak berkepentingan.

Katanya, ia juga antara langkah inovatif bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula bulan lalu hingga Mac tahun depan supaya memberi manfaat kepada semua pihak terutama ahli Keluarga Malaysia dalam menghadapi bencana.

"Antara penambahbaikan Sistem Infobencana JKM 2.0 yang dikenali sebagai Sistem Info Banjir sejak 2015 termasuk penggunaan dwibahasa, menaik taraf paparan antara muka, integrasi bersama jabatan berkaitan pengurusan bencana seperti Jabatan Pendaftaran Negara, NADMA dan Jabatan Ukur serta Pemetaan Malaysia.

"Turut dilaksanakan penambahbaikan modul pusat perpindahan, profil penduduk, bantuan pemulihan dan modul pengurusan stor serta tambahan maklumat baharu seperti info paras air sungai, maklumat jalan tutup dan senarai fasiliti penyimpanan bekalan.

"Informasi terkini boleh diakses secara masa nyata melalui aplikasi InfoBencanaJKM yang boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Store selain laman sesawang http://infobencanajkmv2.jkm.gov.my," katanya.

Berita Harian X