Ahad, 21 November 2021 | 10:44am

Kerajaan bina kemudahan ekonomi digital lebih baik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menyokong dan menumpukan usaha bagi membina infrastruktur ekonomi digital negara, melalui pelbagai inisiatif yang lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) antara usaha kerajaan bagi memacu agenda negara, sebagai persediaan menampilkan kemajuan Malaysia apabila ia beralih kepada kuasa ekonomi digital di rantau ini, tidak lama lagi.

"Kerajaan yakin usaha ini bukan saja akan merapatkan jurang digital tetapi juga akan mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.

"Ini aspirasi negara untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, yang didorong oleh digital dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital.

"Selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Bera, Pahang, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perdana Menteri berkata, kewujudan PEDi di seluruh negara, yang diumumkan kerajaan di bawah Bajet 2022 baru-baru ini, akan memberi kemudahan kepada 15.4 juta penduduk, terutama golongan B40 dan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dipertingkat dan dipergiat sebagai pusat sehenti untuk kegiatan ekonomi digital luar bandar, iaitu setiap satunya dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan serta sokongan yang diperlukan komuniti setempat.

DNB akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi perkhidmatan 5G kepada syarikat telekomunikasi. - Foto hiasan
DNB akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi perkhidmatan 5G kepada syarikat telekomunikasi. - Foto hiasan

Selain itu, katanya, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama 2022, manakala 173 PEDi lagi akan beroperasi menjelang hujung tahun depan, menjadikan keseluruhan 1,083 PEDi yang akan beroperasi di seluruh negara.

Perdana Menteri memaklumkan, sehingga akhir tahun lalu, terdapat hampir 1.2 juta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan, namun sebahagian besarnya masih kurang berdaya saing serta perlu diperkasa, selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Melalui program pemerkasaan usahawan kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini, dengan kerjasama agensi dan pemain industri, kerajaan menyasarkan seramai 800,000 usahawan kecil akan mendapat manfaat menjelang tahun 2025.

"PEDi akan menjadi pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil supaya mesra terhadap ekonomi digital, melalui pelbagai program yang disediakan untuk membantu mereka memulakan perniagaan atau meningkatkan permintaan terhadap produk mereka.

"Diharapkan usahawan kecil ini kelak, dapat mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik menggunakan akses talian dan platform e-dagang, melalui keupayaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi, seterusnya memacu perniagaan dalam jangka panjang," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, melalui Bajet 2022, kerajaan terus memberi sokongan kewangan kepada PMKS melalui peruntukan sebanyak RM40 bilion untuk geran, jaminan dan ekuiti.

"Ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), iaitu PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada 2025," katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar. STR/FARIZUL HAFIZ AWANG
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar. STR/FARIZUL HAFIZ AWANG
Berita Harian X