Sabtu, 20 November 2021 | 3:22pm

Nilai Rt kebangsaan mula menurun

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 mengikut kes seharian di seluruh negara yang dicatatkan semalam mula menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi hantaran di Facebook hari ini, nilai Rt semalam ialah 1.01, menurun berbanding tiga hari sebelumnya, iaitu 1.02 yang direkodkan kelmarin, 1.03 (17 November) dan 1.04 (16 November).

Bagaimanapun, kadar Rt masih di tahap membimbangkan, memandangkan hanya tiga negeri merekodkan nilai di bawah 1.00 iaitu Sabah dengan 0.98, Sarawak (0.85) dan dan Perlis (0.90).

Sementara itu, negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi semalam adalah Wilayah Persekutuan Labuan, iaitu 1.13, diikuti Putrajaya dengan 1.12, Kuala Lumpur (1.09), Kelantan (1.08) dan Selangor (1.07).

Nilai Rt negeri lain pula adalah Pahang (1.05), Negeri Sembilan (1.04), Perak (1.01), manakala Johor dan Kedah (1.03).

Selain itu, tiga negeri mencatatkan Rt 1.00 masing-masing ialah Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada di tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Untuk rekod, nilai Rt kebangsaan mencatatkan peningkatan semula, melepasi angka 1.00 pada 11 November lalu dengan kadar tertinggi direkodkan adalah 1.05, selama tiga hari berturut-turut pada 13, 14 dan 15 November lalu.

Berita Harian X