Sabtu, 20 November 2021 | 2:36pm

RM5.54 juta diagih kepada warga industri kreatif melalui CENDANA

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5.54 juta dalam bentuk geran pembiayaan tunai sudah pun diagihkan kepada 554 pekerja industri kreatif setakat ini melalui Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia adalah sebahagian daripada RM10 juta yang diperuntukkan kepada agensi itu di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu pemain industri kreatif yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Saya amat gembira untuk mengatakan bahawa ia (geran pembiayaan tunai) sudah pun 100 peratus diluluskan.

"Selain itu, sebanyak RM8 juta lagi diperuntukkan kepada CENDANA di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan sebanyak 82 peratus daripadanya sudah diluluskan," katanya melancarkan Pameran Seni COVID-19 bertemakan "Pemulihan: Pembaharuan" di Publika Shopping Gallery, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Sufian Abdullah.

Tengku Zafrul bersama Kurator Pameran, Jaafar Ismail melawat pameran seni COVID-19 "Pemulihan & Pembaharuan" anjuran Fergana Art di Publika Shopping Gallery. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Tengku Zafrul bersama Kurator Pameran, Jaafar Ismail melawat pameran seni COVID-19 "Pemulihan & Pembaharuan" anjuran Fergana Art di Publika Shopping Gallery. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Tengku Zafrul berkata, di bawah PENJANA sebanyak RM225 diperuntukkan kerajaan melalui MyCreative Ventures, termasuk CENDANA bagi meningkatkan daya tahan ekonomi kreatif, menerusi penyediaan pinjaman mudah, geran dan bantuan sara hidup.

Pada tahun ini katanya, kerajaan memperluas liputan perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan turut menyumbang kepada mereka yang bekerja sendiri dan sektor tidak formal, yang akan memberi manfaat kepada 810,000 individu di seluruh negara.

"Inisiatif ini akan diteruskan dengan sumbangan sepadan sebanyak 80 peratus oleh kerajaan dan diperluas bagi meliputi sembilan kategori baharu untuk mereka yang bekerja sendiri dan yang paling penting, turut membabitkan artis," katanya.

Selain itu, di bawah Bajet 2022, sebanyak RM188 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem dan program Perkasa Modal Insan.

"Pada tahun depan, kerajaan akan turut menyediakan dana padanan pinjaman pelaburan melalui Program Riuh Keluarga Malaysia berjumlah hingga RM20 juta yang dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan," katanya.

Mengenai pameran anjuran Publika Shopping Gallery dengan kerjasama Fergana Art itu, Tengku Zafrul berkata, ia adalah usaha yang baik dalam memaparkan situasi negara mengharungi peristiwa yang jarang berlaku dan usaha seperti itu harus diteruskan bagi membina negara yang kreatif, inovatif serta kaya dengan budaya.

"Langkah mencatat dan mendokumentasi sejarah kontemporari kita daripada lensa dan perspektif kita sendiri, akan memperkukuh dan meningkatkan lagi identiti negara kita," katanya.

Pameran Seni COVID-19 "Pemulihan: Pembaharuan" yang akan berlangsung dari 15 November hingga 5 Disember ini, menampilkan hasil seni seperti lukisan, cetakan, foto, arca, objek, seni pasangan dan puisi berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia.

Ia turut memaparkan hasil karya jurugambar daripada media arus perdana dan digital tempatan termasuk daripada The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Tengku Zafrul bersama Kurator Pameran, Jaafar Ismail melawat pameran seni COVID-19 "Pemulihan & Pembaharuan" anjuran Fergana Art di Publika Shopping Gallery. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Tengku Zafrul bersama Kurator Pameran, Jaafar Ismail melawat pameran seni COVID-19 "Pemulihan & Pembaharuan" anjuran Fergana Art di Publika Shopping Gallery. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X