Sabtu, 20 November 2021 | 2:35pm
Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) ketika melawat tapak pameran selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sekinchan, hari, ini.
Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) ketika melawat tapak pameran selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sekinchan, hari, ini.

Benih padi IS21 tingkatkan hasil 40-67 peratus lebih tinggi

SEKINCHAN: Teknologi benih padi baharu IS21 inisiatif Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membantu meningkatkan produktiviti padi dengan anggaran hasil 40 hingga 67 peratus lebih tinggi berbanding purata pengeluaran kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata benih padi IS21 juga mampu mengeluarkan hasil padi hingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman manakala kos penanaman dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang.

Katanya, IS21 dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa akan datang.

"Teknologi biak baka mutasi ini adalah alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional dan ia berpotensi digunakan ke atas tanaman agromakanan dalam menghasilkan varieti yang mempunyai ciri-ciri lebih baik.

"Biak baka mutasi ini akan mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Padi IS21 dinamakan sempena nama Perdana Menteri iaitu IS adalah singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.

Varieti Padi IS21 telah didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jabatan Pertanian melalui Certificate of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder's Right (Nombor Pendaftaran: PBR 0156 (NMR152).

Ismail Sabri (kiri) menerima cenderahati daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sekinchan, hari, ini. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri (kiri) menerima cenderahati daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sekinchan, hari, ini. - Foto BERNAMA

Padi IS21 ini diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara.

Melalui subsidi ini, pesawah boleh mendapatkan benih padi pada harga RM35 untuk 20kg.

Dr Adham berkata benih padi IS21 adalah contoh hasil penyelidikan dari makmal ke pasaran yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Beliau turut menjelaskan pembangunan benih padi menggunakan teknologi baharu telah mula membuka peluang perusahaan dan pekerjaan amat memberangsangkan kepada penduduk Sekinchan dan persekitarannya.

Hingga kini, Dr Adham berkata, terdapat lebih 15,000 pesawah di seluruh negara telah menerima dan menanam padi IS21 ini.

IS21 mampu mengeluarkan hasil padi hingga sembilan tan sehektar mengikut kawasan penanaman manakala kos penanaman dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang.

Hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 hingga 67 peratus, bergantung kepada kawasan tanaman dan budaya serta amalan petani.

Pada 20 September lalu, Nuklear Malaysia telah menerima pengiktirafan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) atas pencapaian dalam pembiakan mutasi tumbuhan dan bidang bioteknologi berkaitan dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan melalui penggunaan radiasi bagi mempelbagai jenis benih yang lebih berkualiti.

Agensi itu telah dinamakan sebagai antara penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pembiakan Mutasi Tumbuhan semasa Persidangan Agung ke-65 IAEA yang berlangsung di Vienna, Austria.

Berita Harian X