Sabtu, 20 November 2021 | 11:33am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Gangguan bekalan air di USJ 1 hingga USJ 27

KUALA LUMPUR: Pengguna di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah hari ini berikutan penurunan paras kolam air di Kolam Air Sime UEP, USJ.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata insiden itu disebabkan masalah teknikal kunci udara pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan pada jam 12 tengah malam ini. Air Selangor sedang berusaha mengatasi masalah 'kunci udara' ini dan akan menyalurkan bekalan air secara berperingkat selepas paras kolam air agihan itu distabilkan.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata, Air Selangor akan menggerakkan bantuan bekalan air ke kawasan terjejas menggunakan lori tangki dengan keutamaan diberi kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki berkenaan dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Katanya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Air Selangor menerusi talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden itu dari semasa ke semasa.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre menerusi laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X