Jumaat, 29 Oktober 2021 | 10:41am
Penggunaan teknologi cerapan satelit dan dron khas oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berjaya mengesan pelbagai lokasi yang mempunyai tanda-tanda dijadikan tempat pelupusan bahan buangan secara haram di seluruh negara, termasuk sisa toksik. Cerapan MYSA di Rawang, Selangor mendapati ada beberapa tapak sudah dijadikan tempat pembuangan sisa industri secara haram. - Foto ihsan MYSA
Penggunaan teknologi cerapan satelit dan dron khas oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berjaya mengesan pelbagai lokasi yang mempunyai tanda-tanda dijadikan tempat pelupusan bahan buangan secara haram di seluruh negara, termasuk sisa toksik. Cerapan MYSA di Rawang, Selangor mendapati ada beberapa tapak sudah dijadikan tempat pembuangan sisa industri secara haram. - Foto ihsan MYSA

Satelit, dron kesan 4,884 tapak pelupusan haram

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi cerapan satelit dan dron khas berjaya mengesan 4,884 tapak di seluruh negara yang mempunyai tanda-tanda dijadikan tempat pelupusan bahan buangan secara haram, termasuk sisa toksik.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,298 tapak di kesan di Selangor, Perak dengan 485 lokasi, Sarawak (183) Kedah (83), Sabah (82), Pahang (75), Terengganu (64), Pulau Pinang (62) dan Melaka (54).

Selain itu, Kuala Lumpur (41), Kelantan (32), Negeri Sembilan (31), Johor (27), Labuan (14), Perlis (4) dan Putrajaya (2). Pengesanan semua tapak itu dibuat oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menggunakan teknologi cerapan satelit dan dron khas sejak tiga tahun lalu, selepas insiden pencemaran toksik berbahaya di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor.

Bagaimanapun, daripada 4,884 tapak yang dikesan menggunakan satelit dan dron, hanya sebanyak 765 lokasi disahkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Sebagai contoh di Selangor, cerapan dilakukan MYSA mengenal pasti 1,298 lokasi mempunyai tanda dijadikan kawasan pembuangan sisa secara haram, namun PBT di negeri itu hanya mengetahui 11 lokasi.

Di Perak pula, MYSA mengesan 485 lokasi yang disyaki menjadi tumpuan aktiviti pelupusan sisa haram dan masih menunggu pengesahan PBT negeri berkenaan jumlah diketahui mereka.

Memperincikan maklumat disalurkan MYSA itu, Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan lokasi tapak pelupusan sisa haram yang dicerap melalui analisis imej satelit dan dron lebih menyeluruh dan dikenal pasti berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya, beliau berkata, faktor kedudukan kebanyakan kawasan pembuangan sisa haram itu yang biasanya berdekatan dengan sumber air seperti sungai.

"Maklumat diperoleh melalui analisis cerapan imej satelit adalah berdasarkan maklumat di permukaan bumi pada setiap hari. Selain menjalankan cerapan imej satelit, MYSA turut menggunakan dron khas bagi mengumpul data dan maklumat di kawasan sasaran.

"Lokasi dikenal pasti berdasarkan beberapa faktor. Pertama, terdapat kesan atau longgokan bahan-bahan sisa. Kedua, ada kesan terbakar atau pokok sekitar yang mati. Ketiga, tekstur warna tanah sekitar dan keempat, berdekatan aliran atau saliran air dalam radius 5 hingga 7 kilometer (km) dari sumber," katanya kepada BH.

Meskipun MYSA tidak mempunyai peranan dari segi penguatkuasaan, Dr Adham berkata, agensi itu memberi sumbangan besar dalam membantu pihak berkuasa mengesan tapak pelupusan sisa haram di Malaysia menggunakan teknologi penderiaan jauh (remote sensing).

Jelasnya, ia menggunakan satelit SPOT6dan PLEAIDES dari Perancis yang mempunyai resolusi tinggi, iaitu antara1meter (m) sehingga 50 sentimeter (sm) dan mampu melakukan cerapan setiap hari serta membekalkan pelbagai maklumat diperlukan.

Ahad lalu, BH mendedahkan Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah MOSTI.

MYSA memulakan inisiatif itu susulan tragedi Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya, tiga tahun lalu. Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, dilaporkan berkata, sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa di negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan susulan.

Beliau turut mendedahkan kecenderungan kegiatan pelupusan sisa haram yang biasanya menyasarkan kawasan sekitar 5km dari kawasan punca atau sumber dengan modus operandi digunakan pihak kilang biasanya mengupah pihak ketiga, selain lokasi yang mempunyai akses serta jauh daripada orang awam.

Sebaik berakhir insiden Sungai Kim Kim, MYSA meneruskan usaha membangunkan pangkalan data berkaitan potensi kawasan berisiko yang dijadikan tapak pelupusan sisa toksik di seluruh negara melalui sistem dan pangkalan data geospatial berasaskan teknologi remote sensing angkasa.

Perkhidmatan disediakan agensi itu juga boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dalam membendung perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab melupuskan sisa industri secara haram, membantu mengesan lebih awal kawasan berpotensi dijadikan lokasi pelupusan sisa, sekali gus memudahkan penguatkuasaan.

Pada 7 Mac 2019, negara dikejutkan dengan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah mengalami sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Pembuangan sisa itu turut mengeluarkan asap toksik sehinggakan 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara ketika itu. Operasi pembersihan dilakukan di sepanjang 1.5km sungai dengan sejumlah 900 tan tanah dan 1,500 tan air tercemar dibersihkan.

Bagaimanapun, pencemaran di Sungai Kim Kim terus berulang, antaranya pada 8 Mac lalu, BH melaporkan sungai itu kembali 'dinoda' apabila dicemari tompokan minyak berbau busuk dan terbaharu kira-kira dua minggu lalu, dipercayai berpunca daripada loji kumbahan najis.

Tinjauan BH pada pertengahan bulan ini mendapati air Sungai Kim Kim keruh dengan tompokan berwarna hitam dan berminyak, malah berbau busuk meloyakan, dipercayai berpunca daripada air sisa loji kumbahan yang dilepaskan ke aliran.

Berita berkaitan:

  • Kerjasama rentas kementerian, negeri pulihara alam sekitar
  • Berita Harian X