Rabu, 27 Oktober 2021 | 10:38pm

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Mohd Nor

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pertama Senoi Praaq, Datuk Mohd Nor Abdullah / Bah Ayob .

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mohd Nor pada Ahad lalu dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

"Baginda berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

"Baginda juga menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara," kata kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Mohd Nor berketurunan Semai dari Kuala Mensoon, Cameron Highlands adalah anggota pertama memegang nombor 001 pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali sebagai Senoi Praaq.

Allahyarham yang bersara dengan pangkat Asisten Superintendan adalah bapa kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

"Sebagai anggota pertama Senoi Praaq, Allahyarham adalah saksi utama dalam setiap perjalanan pasukan Senoi Praaq," kata kenyataan itu.

Bermula dengan 10 anggota, Senoi Praaq dibesarkan kepada empat seksyen bermula Mei 1956 sebelum ditingkatkan kepada empat skuadron dengan kekuatan 256 anggota bermula 15 Mei 1959.

Kehebatan Senoi Praaq menyebabkan mereka digelar pembunuh senyap dan kisah ini dirakamkan dalam buku "Death Waits in the Dark: The Senoi Praaq, Malaysia's Killer Elite".

– BERNAMA

Berita Harian X