Rabu, 20 Oktober 2021 | 5:18pm
Mohd Azizuddin dan Jeniri. FOTO NSTP
Mohd Azizuddin dan Jeniri. FOTO NSTP

PRN Melaka: UMNO menang majoriti mudah jika sendirian

KUALA LUMPUR: UMNO dilihat memiliki potensi dan kekuatan untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan membentuk kerajaan, walaupun bertanding tanpa kerjasama PAS dan BERSATU.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menyifatkan ia bersandarkan kepada sentimen dan dinamik politik di Melaka menunjukkan UMNO masih memiliki sokongan kukuh di kawasan majoriti Melayu.

"UMNO mampu menang dengan majoriti mudah jika parti itu memutuskan untuk bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) tanpa kerjasama Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN).

"Melaka memang kubu UMNO. Sokongan orang Melayu di kawasan majoriti Melayu, khususnya luar bandar, kepada UMNO di Melaka masih kuat, dan mereka tidak perlukan PAS atau BERSATU.

"Ini kerana sokongan akar umbi kepada UMNO kukuh dan undi yang akan pecah hanya membabitkan saki-baki undi yang tidak menyokong parti itu di kawasan majoriti Melayu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu dan BN belum memutuskan pendirian untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam PRN Melaka.

Namun, pada 13 Oktober lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun BERSATU.

Mohd Azizuddin menambah, PAS dan BERSATU memerlukan kerjasama dengan UMNO kerana peluang kedua-dua parti itu untuk menang hampir sifar jika tanpa UMNO.

Katanya, PAS dan BERSATU memerlukan sokongan UMNO untuk menang kerana kedua-dua parti tidak memiliki jentera dan sokongan akar umbi yang kuat di Melaka, sekali gus tidak mampu bersaing di negeri itu.

Pensyarah kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu percaya jika kerjasama diadakan, UMNO terpaksa mengorbankan kerusi mereka kepada PAS dan BERSATU.

Namun katanya, mungkin ada pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan langkah itu dan akan melakukan sabotaj, sekali gus menjejaskan potensi kemenangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor kemenangan UMNO boleh berubah jika berlaku perpecahan akibat tidak bersetuju dengan calon dipilih parti.

Beliau turut percaya UMNO dan BN tidak mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan bandar yang kemungkinan besar kekal milik Pakatan Harapan (PH).

"Kawasan campuran Melayu dan bukan Melayu juga sukar untuk dimenangi UMNO. Jika ada pertembungan tiga penjuru atau lebih di kawasan ini, ia akan beri kelebihan pada PH," katanya.

Sementara itu, Prof Dr Jeniri Amir, percaya UMNO akan memutuskan untuk bertanding sendirian di PRN Melaka, sekali gus menjadi medan menguji kekuatan parti itu bagi merencana langkah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, jika UMNO boleh menang bersendirian di PRN Melaka, parti itu berkemungkinan besar memilih pendekatan sama pada PRU-15.

Namun, beliau yakin UMNO sukar untuk menang dalam PRN Melaka tanpa kerjasama PAS dan BERSATU atas faktor pecahan undi Melayu, yang akan memberi kelebihan kepada PH.

"Jika UMNO bekerjasama, pasti ia menguntungkan PN sebab tiada pertembungan antara tiga parti utama, selain dapat menggabung kekuatan jentera UMNO dan PAS yang memiliki ramai ahli.

"Namun, jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara UMNO, PN dan PH, ia akan beri kelebihan kepada PH," katanya.

Berita Harian X