Jumaat, 15 Oktober 2021 | 6:55pm
- Foto fail NSTP
- Foto fail NSTP

BERSATU belum runding kerusi PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang rundingan mengenai agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara BERSATU dengan mana-mana parti lain pada masa ini.

Perkara itu disahkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa menjelaskan mengenai penyertaan parti itu dalam PRN Melaka.

"Agih kerusi? belum lagi, " katanya ringkas ketika ditemui BH selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara keempat, hari ini.

Muhyiddin ditanya mengenai perbincangan pengagihan kerusi antara BERSATU, PAS dan UMNO bagi PRN Melaka.

Baru-baru ini, mengulas kerjasama UMNO dan BERSATU pada PRN Melaka dan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU), Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau menghormati keputusan tiada kerjasama UMNO dengan BERSATU seperti yang sudah ditetapkan Pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Katanya, ketetapan sudah dibuat dan beliau selaku Presiden menghormati keputusan parti tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15.

Ahmad Zahid juga menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS.

PAS pula memberi jaminan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi UMNO dan BERSATU pada PRN Melaka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan dalam usaha PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.

Sementara itu, mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan raya akan datang, katanya perkara itu hanya akan dibincangkan apabila keadaan semakin reda.

Katanya, tidak boleh untuk membincangkan pengagihan kerusi dalam keadaan tidak menentu sekarang.

"Apabila keadaan sudah selesai, baru kita tahu macam mana nak agih kerusi, itu lebih mudah.

"Saya hanya boleh bercakap bagi pihak sudut Perikatan Nasional (PN) ...yang lain (parti) saya tidak tahu, sama ada mereka nak bekerjasama atau tidak bersedia..tidak mengapa, kita akan ada keputusan nanti," katanya.

Berita Harian X