Khamis, 14 Oktober 2021 | 8:19pm

MKT UMNO bincang pilihan raya di Melaka

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka antara fokus utama mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat parti itu, dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

Selain itu, mesyuarat dijangka membincangkan pendirian parti mengenai kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Ini susulan kenyataan Ahmad Zahid UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam MN ataupun BERSATU.

Setakat 8 malam, Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; ahli MKT, Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii sudah berada di ibu pejabat UMNO.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sebelum ini membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Pembubaran DUN Melaka dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadapnya.

ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron (kiri) bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan antara yang menarik sokongan kepada Sulaiman. - Foto NSTP/Hassan Omar
ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron (kiri) bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan antara yang menarik sokongan kepada Sulaiman. - Foto NSTP/Hassan Omar
Berita Harian X