Khamis, 14 Oktober 2021 | 4:16pm
Annuar menyampaikan telefon pintar kepada Amir Izzwan Abu Hasan selepas Majlis pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis Berhad, Gokhan Ogut. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Annuar menyampaikan telefon pintar kepada Amir Izzwan Abu Hasan selepas Majlis pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis Berhad, Gokhan Ogut. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pemimpin UMNO perlu elak kenyataan peribadi

PUTRAJAYA: Pemimpin UMNO dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelak mengeluarkan kenyataan bersifat pendapat individu yang boleh menimbulkan masalah dan merugikan parti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata adalah lebih baik sekiranya sesuatu keputusan yang hendak dijadikan kenyataan diputuskan terlebih dahulu melalui rundingan berasaskan kepada konsultasi.

"Dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya kita dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi bagi mengelakkan pandangan peribadi," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga di kementeriannya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) atau BERSATU.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berharap apa juga pendirian UMNO tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu semata-mata sahaja sebaliknya, ia harus juga melihat kepada kedudukan UMNO sebagai pihak yang sedang memimpin dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

Katanya, UMNO akan kerugian jika menolak kerjasama dengan parti-parti lain kerana parti itu sendiri sememangnya memerlukan kerjasama berkenaan.

Berita Harian X