Khamis, 14 Oktober 2021 | 11:55am

'Jangan biar perpaduan dihancurkan pemimpin mengutamakan duniawi'

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin PAS, UMNO dan BERSATU perlu mengambil kira sentimen akar umbi yang menyokong perpaduan, sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kerjasama di antara parti.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata perpaduan yang telah dicapai sebelum ini juga tidak boleh dibiar hancur di tangan pemimpin yang mengutamakan kepentingan duniawi.

"Kepada para pemimpin, lihatlah para penyokong dan pendokong parti di bawah dan di kampung-kampung yang bergembira atas perpaduan ini.

"Jangan biarkan ia dihancurkan oleh tangan yang berkepentingan duniawi. Sebagai pemimpin, anda bertanggungjawab bukan hanya di dunia tetapi hingga ke akhirat" katanya dalam hantaran di Facebook peribadinya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika diwawancara dalam program 'Jawab, Saya Tanya' bertajuk 'PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?' yang disiarkan secara dalam talian malam kelmarin, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Kata Ahmad Zahid, antara punca tiada kerjasama dengan PAS ialah Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Beliau turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkenaan MN, namun tidak memperincikan maksud kenyataan itu.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, rundingan perpaduan bersama UMNO sehingga terbentuk Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019 adalah satu kejayaan besar PAS kerana ia menamatkan pertembungan dan perbalahan antara orang Melayu di negara ini selama 41 tahun sejak 1978.

Katanya, momentum detik yang sangat bersejarah itu kemudiannya diteruskan sehingga PAS berjaya menjalin kerjasama dengan BERSATU melalui penubuhan Perikatan Nasional (PN).

"Siri-siri perpaduan ini adalah kejayaan umat yang sangat dicemburui oleh musuh. Nikmat kebersamaan dalam Kerajaan Persekutuan hari ini memang benar-benar dicemburui musuh.

"Suara-suara halus syaitan sentiasa berbisik dan menghasut untuk dirungkaikan kesatuan ini," tegasnya.

Mohd Khairuddin berkata, beliau akan terus memperjuangkan muafakat yang telah terjalin selagi hayat di kandung badan demi Islam dan umat malah yakin ramai yang senada dan mempunyai hala tuju sama dengannya.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan tanggungjawab PAS untuk mendidik politik muafakat umat, bukan untuk kebaikan parti itu semata-mata tetapi kebaikan Islam dan umatnya.

Katanya, perpaduan juga diseru oleh Islam, bukan hanya diseru oleh parti, kelompok atau rakan.

"Marilah kita bersama menanam tekad agar perpaduan ini tidak lagi terungkai. Ia adalah kejayaan besar umat.

"Ia juga adalah nikmat besar yang tiada taranya yang perlu disyukuri, dipertahan dan diperkasakan," katanya.

Berita Harian X