Rabu, 15 September 2021 | 5:06pm

Sembilan sudah ditahan kes cemar sisa kimia dekat Kempas

JOHOR BAHRU: Sembilan suspek sudah ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia ke dalam tali air dan sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata penahanan sembilan suspek itu bagi membantu siasatan lanjut kes yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan, sejak malam tadi.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melakukan pemeriksaan mengejut terhadap beberapa premis yang disyaki terbabit menyebabkan pencemaran di tali air dan Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, termasuk sebuah kilang pirolisis tayar

"JAS turut menjalankan pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan kampung yang terjejas namun

sehingga jam 2 petang tadi didapati kualiti udara semakin bertambah baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media pagi ini melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan dan sesak nafas, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, tindakan tegas akan diambil dengan penjenayah alam sekitar akan dikenakan hukuman yang setimpal.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu (melupuskan bahan buangan terjadual secara haram) yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

"JAS mengalu-alukan maklumat yang diberikan oleh orang awam bagi membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran alam sekitar," katanya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal eaduan JAS di eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X