Rabu, 15 September 2021 | 9:33am

UTHM sedia dana RM4 juta bantu pelajar B40

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyediakan peruntukan RM4 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 sebagai menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly, berkata 70 peratus pelajar UTHM datang daripada keluarga B40 dan memerlukan bantuan untuk membayar yuran pengajian.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran pada semester akan datang.

"Pihak universiti menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus bagi semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wahid berkata sehingga kini 97 peratus kakitangan dan 83 peratus pelajar lengkap divaksinasi.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus mulai 15 Oktober ini.

"UTHM akan terus memastikan semua kakitangan dan pelajar melengkapkan dua dos vaksin menjelang akhir September ini.

"UTHM akan mengutamakan kumpulan pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus namun hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

"Keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu yang memerlukan pengalaman menjalani kehidupan di kampus dan juga pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi, Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan COVID-19 di kampus.

Berita Harian X