Selasa, 14 September 2021 | 6:14pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Utamakan perlindungan, bukan jenis vaksin

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat perbandingan mengenai tahap keberkesanan bagi setiap jenis vaksin kerana tindak balasnya berbeza mengikut antibodi masing-masing.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am, Dr Hanafiah Bashirun, berkata secara keseluruhannya, setiap vaksin mempunyai keupayaan yang sama untuk melawan pelbagai varian termasuk yang mudah merebak seperti Delta.

"Pada pandangan saya, lebih baik setiap daripada kita utamakan untuk mendapatkan perlindungan terlebih dulu, tidak mengira apa jenis vaksin.

"Keberkesanan vaksin sebenarnya banyak bergantung kepada cara badan individu itu untuk melawan virus berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.

Menurut Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad, Dr Ajit Pal Singh, satu kajian berhubung keberkesanan dua dos vaksin COVID-19 untuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk Koronavirus 2 (SARS-CoV-2) di Guangzhou, China baru-baru ini menunjukkan ia memberikan perlindungan mencukupi bagi menentang varian Delta yang mampu mengancam nyawa manusia di seluruh dunia.

Kajian itu mendapati penggunaan vaksin CoronoVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotech Group menunjukkan bahawa kedua-duanya lebih berkesan terhadap pesakit COVID-19 bergejala sederhana berbanding yang bergejala ringan.

Hanafiah berkata, bagi individu yang memiliki sistem imun yang lemah, masih boleh mendapat komplikasi yang serius jika dijangkiti COVID-19 walaupun dikatakan menerima jenis vaksin yang lebih kuat dan berkesan.

Katanya, apa yang lebih penting adalah tahap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Selain memastikan semua SOP dipatuhi, orang ramai juga disarankan mengamalkan pemakanan dan aktiviti sihat bagi meningkatkan imun seperti pengambilan vitamin C.

"Selain itu, jagalah kesihatan supaya tidak alami penyakit komorbid seperti darah tinggi dan kencing manis kerana ia meningkatkan lagi risiko keparahan jika dijangkiti COVID-19," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata bukan semua kajian menunjukkan vaksin Sinovac berkesan dalam memberi perlindungan terhadap varian Delta.

"Ada kajian (lain) menunjukkan keberkesanannya kurang jika dibandingkan dengan vaksin Pfizer dan Astrazeneca.

"Jika dilihat daripada aspek kadar jangkitan yang menyebabkan komplikasi, semua vaksin berdepan perkara sama dan mungkin ia tidak bermakna dari segi statistik," katanya.

Tambah Sharifa Ezat, jika dilihat penggunaan vaksin Sinovac di negara lain, ada yang sudah mula memberikan dos ketiga atau penggalak bagi mengelakkan jangkitan semula.

Katanya, Malaysia juga mungkin mengikut langkah sama selari dengan situasi penularan yang masih berlaku dalam komuniti ketika ini.

Berita Harian X