Selasa, 14 September 2021 | 3:33pm

15,669 kes baharu, Selangor kembali tertinggi

PUTRAJAYA: Angka penularan COVID-19 di negara ini terus mencatatkan penurunan tiga hari berturut-turut apabila sebanyak 15,669 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 16,073 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berkenaan kini sudah mencecah dua juta iaitu sejumlah 2,011,440 kes.

Katanya, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes harian iaitu sejumlah 2,632 kes, diikuti Sarawak (1,983), Johor (1,974), Sabah (1,784), Pulau Pinang (1,651), Kelantan (1,406) dan Kedah (1,207).

Selain itu ialah Pahang dengan 763 kes baharu, Perak (856), Terengganu (483), Kuala Lumpur (411), Melaka (329), Negeri Sembilan (143), Perlis (30), Putrajaya (14) dan Labuan (tiga).

"Daripada jumlah kes baharu yang dikesan hari ini, sejumlah 15,386 kes bersamaan 98.2 peratus terdiri daripada pesakit dalam kategori satu dan dua serta 283 kes atau 1.8 peratus lagi adalah dalam kategori tiga hingga lima" katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kes yang dimasukkan di dalam unit rawatan rapi, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 954 kes COVID-19 sedang dirawat di dalam wad berkenaan dengan 432 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, mengenai kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 29 kluster dikesan membabitkan 13 kluster di tempat kerja, dalam kalangan komuniti (12) dan kumpulan berisiko tinggi (tiga).

"Terdapat 10 kluster baharu dikesan di Kelantan, Johor (lima), Perak (empat), masing-masing tiga di Pahang dan Sarawak, Selangor (dua) dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas mengenai kes sembuh yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 18,053 kes sembuh dilaporkan di negara ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ialah 1,764,579 kes.

Berita Harian X