Ahad, 12 September 2021 | 6:13pm
 Parlimen sudah luluskan Undi 18 sejak 2019 dan ia diterima sebulat suara di Dewan Rakyat. - NSTP/Rosela Ismail
Parlimen sudah luluskan Undi 18 sejak 2019 dan ia diterima sebulat suara di Dewan Rakyat. - NSTP/Rosela Ismail

PRU-15 boleh batal jika gagal laksana Undi 18

ISU Undi 18 terus mengundang polemik. Di satu sudut, pelbagai pihak mendesak pelaksanaannya disegerakan, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan kekangan tersendiri untuk melaksanakannya.

Wartawan BH, Saiful Haizan Hasam mendapatkan pandangan bekas Pengerusi SPR yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, serta Profesor Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Nasrudin Mohammed.

Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.
Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

SOALAN (S): Bagaimana Tan Sri melihat keputusan Mahkamah Tinggi Kuching baru-baru ini yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini?

JAWAPAN (J): Perkara sebegini tak sepatutnya berlaku kerana ia menjatuhkan reputasi SPR. Kita jadi bahan ketawa kerana satu dunia dapat berita ini. Lebih-lebih lagi, Parlimen sudah luluskan Undi 18 sejak 2019 dan ia diterima sebulat suara di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong pun sudah bersetuju, tetapi tidak ada sesiapa daripada pihak eksekutif yang bawa perkara ini sekali lagi kepada Seri Paduka untuk diwartakan tarikh kuat kuasanya. Saya biasa dengan proses ini sebab saya pernah buat persempadanan semula kawasan pilihan raya. Baginda yang menentukan bila nak dikuatkuasakan persempadanan semula itu.

Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi yang diiktiraf pakar Perlembagaan terbaik negara dalam satu tulisan awal tahun ini menyatakan, Undi 18 akan bawa masalah jika tidak nampak usaha untuk melaksanakannya kerana orang muda akan buat pelbagai bentuk protes. Nampaknya betul ramalan beliau apabila Undi 18 dibawa ke mahkamah.

Bagi saya, Peguam Negara tidak wajar memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. Jangan buang masa kerana perkara itu sudah jadi undang-undang negara. Perlembagaan adalah undang-undang yang teratas, tiada siapa dapat lawan lagi.

S: Apa implikasi jika ia gagal dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU)?

J: Kesannya amat besar. Apabila berlaku PRU-15 dan mereka berusia 18 tahun dinafikan hak mengundi, sudah tentu ada membawanya ke mahkamah. Tidak perlu sampai seribu atau 2,000 orang, sebaliknya cukup sekadar 10 orang buat petisyen, keadaan boleh jadi tunggang-langgang. (Memang akan menang) sebab sudah ada kes berlaku di luar negara. Saya boleh tunjuk kes sebegini dan ia juga terpakai di negara kita.

Mahkamah boleh batalkan keputusan pilihan raya kerana undang-undang sudah ada, tetapi tidak dilaksanakan. Ini bahaya besar, kita adakan PRU tetapi sia-sia (sebab dibatalkan). Kita kena ingat, kos melaksanakan sesebuah PRU adalah RM1 bilion. Ini pembaziran wang rakyat.

Persoalan lebih besar, apa pula status keabsahan sesebuah kerajaan yang dibentuk melalui satu PRU yang dibatalkan keputusannya? Sebab itu saya kata kerajaan kena buat. Mudah saja, dahulukan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, soal pendaftaran pemilih kita gunakan sistem yang ada sekarang (bukan automatik). Sekurang-kurangnya pengundi berusia 18 ke 20 tahun ini tak sakit hati.

Itu sudah mencukupi kerana jika dibawa ke mahkamah sekalipun, kerajaan boleh kata awak sepatutnya daftar sebagai pemilih, tetapi kenapa tidak buat? Saya lihat SPR juga ke arah menguatkuasakan had umur minimum layak mengundi terlebih dahulu dengan pendaftaran pemilih masih dengan kaedah lama. Jika ini dikuatkuasakan, saya jangka sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi muda ini akan mendaftar sebagai pemilih.

Sekiranya masa masih tidak mencukupi, Yang di-Pertuan Agong ada kuasa memprorog iaitu menangguhkan PRU-15, itu ada dalam Perlembagaan. Baginda boleh tangguhkan atas sebab munasabah untuk selesaikan soal menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

S: Apa sebenarnya kekangan dalam isu Undi 18 ini?

J: Had umur mengundi 18 tahun, saya tak nampak ada kekangan dilaksanakan segera. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19 bukanlah alasan penangguhan kerana ini membabitkan pindaan undang-undang, bukannya penganjuran program di sana sini seperti pilihan raya.

Apabila Parlimen sudah menurunkan had umur mengundi melalui pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara dan SPR perlu meneliti akta atau peraturan lain yang perlu dipinda, 'bukannya balik tidur'.

Ada tiga saja iaitu Akta Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Daripada tiga ini, hanya Akta Pilihan Raya 1954 mesti dibawa ke Parlimen untuk pindaan. Itu pun sedikit, hanya satu baris. Baki dua lagi hanyalah peraturan, maka tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk pindaan. Pindaannya boleh dibuat di peringkat eksekutif. Apabila Kabinet setuju, peraturan itu boleh diwartakan dan kemudiannya dibentangkan dalam bentuk kertas pemakluman di Parlimen.

S: Apa komen Tan Sri mengenai syor berkaitan umur minimum calon pilihan raya?

J: Jujur cakap, saya tak berkenan dengan penurunan had umur calon wakil rakyat, tetapi kita kena terima hakikat (ia diluluskan di Parlimen). Saya pun tak tahu ini idea siapa. Bagi saya lebih penting had umur kelayakan mengundi dan pendaftaran secara automatik.

Untuk membolehkan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diturunkan kepada 18 tahun, kerajaan negeri perlu meminda Perlembagaan negeri atau Undang-Undang Tubuh masing-masing dan setakat ini, tujuh negeri sudah berbuat demikian seperti Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang.

Bagi saya soal pindaan di peringkat negeri tak susah kerana Sultan ada kuasa dalam Perlembagaan untuk mengarahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang hanya beberapa jam untuk tujuan pindaan itu.

S: Dalam soal pendaftaran pemilih secara automatik, apa kekangan SPR?

J: Cadangan atau idea pendaftaran pemilih secara automatik sudah lama dibincangkan. Waktu jadi Pengerusi SPR dulu, saya ada bincang dengan kerajaan tetapi melihat kepada kekangan, kita nampaknya belum bersedia. Kerajaan sendiri seperti tidak berminat pada masa itu.

Masalahnya, kunci utama pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bukan di tangan SPR, sebaliknya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pendaftaran automatik hanya boleh dibuat jika JPN mampu membekalkan data alamat yang betul dan tepat kepada SPR. Itu kekangan terbesar dan saya bersimpati dengan SPR dalam hal ini.

Tanpa data itu, SPR tidak mampu melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik. Kalau diteruskan juga, keadaan jadi huru-hara dan SPR akhirnya dipersalahkan.

S: Mengapa alamat tepat penting untuk pendaftaran pemilih secara automatik?

J: Sebabnya SPR ada sistem lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Bagi alamat di kawasan bandar atau taman, itu tidak jadi masalah kerana ia berada di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun bagaimana dengan penduduk luar bandar yang guna alamat kampung saja.

Ini menyulitkan SPR untuk memasukkan seseorang pengundi ke lokaliti dan PDM yang tepat. Jika tidak, SPR mungkin 'menghantar' si isteri, suami atau anak-anak ke PDM berbeza, jauh dari rumah kerana SPR tidak dapat tahu lokasi tepat mereka memandangkan hanya nama kampung disebut dalam alamat.

Kampung pula mungkin besar, saya pernah ke Kampung Paya Teh di Jerantut yang keluasannya 30 kilometer persegi. Begitu juga di Rinching, Semenyih banyak yang guna alamat lot tanah, tetapi nombornya tidak tersusun. Ini menyulitkan tugas SPR sekiranya pendaftaran pemilih secara automatik mahu dikuatkuasakan.

S: Jadi apa solusi terbaik?

J: Kita memerlukan satu sistem pengurusan alamat nasional dengan kaedah pengecaman unik sebagaimana sistem GeoPlace yang digunakan di United Kingdom (UK). Perkara ini turut menjadi salah satu syor oleh ERC kepada kerajaan.

Sistem GeoPlace yang dibangunkan melalui teknologi data spatial dapat membantu kerja menentukan alamat sama ada perumahan, komersial atau tanah. Melalui cara ini, kerajaan dapat menyeragamkan struktur alamat dan mengawal semua hal ehwal berkaitan alamat dengan lebih mudah dan berkesan.

Dalam konteks pilihan raya, sistem seperti ini amat berguna kepada SPR, khususnya dalam proses verifikasi ketulenan maklumat alamat, sama ada ia benar-benar wujud dan ketepatan lokasinya berdasarkan sistem pengekodan data spatial.

Ini adalah usaha nasional dan kerajaan perlu beri keutamaan. Kadang-kadang saya malu kerana Malaysia ini antara negara Komanwel yang terkemuka, tetapi dalam banyak hal, kita agak terkebelakang berbanding orang lain. Dari dulu lagi saya beritahu Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya memulakan gerak kerja untuk menyelaras data alamat. Pada masa itu, saya cadangkan dibuat dengan peruntukan RM50 juta melalui kerjasama PBT.

Negara kita ada tiga kategori PBT iaitu majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah. Kawasan pentadbiran mereka meliputi seluruh negara. Peruntukan tadi boleh disalurkan kepada semua PBT untuk menjalankan gerak kerja bagi menyediakan sistem alamat yang boleh dimanfaatkan SPR untuk menjayakan pendaftaran pemilih secara automatik.

S: Akhir sekali, apa harapan Tan Sri terhadap Undi 18?

J: SPR dan Jabatan Peguam Negara perlu beri tumpuan sepenuhnya kepada urusan Undi 18 kerana ia sudah menjadi undang-undang. Janganlah perkara ini menyebabkan negara kita dilihat sebagai tidak mampu untuk menampung urusan pentadbiran undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memberi gambaran kita bagaikan negara dunia ketiga sehingga ke tahap pelaksanaan undang-undang perlu dibuat dengan arahan mahkamah. Ini bukan budaya kita.

Laksanakan apa yang boleh dahulu dan kalau memerlukan penambahbaikan, ia dibuat kemudian. Itu memang proses biasa di mana-mana negara sekalipun. Setiap pembaharuan proses pilihan raya di Australia atau New Zealand umpamanya, ambil masa 10 ke 12 tahun untuk sempurna.

Apa yang penting, kita mesti memulakannya terlebih dahulu.

Kesediaan SPR tentukan kebolehlaksanaan segera

SPR dan Jabatan Peguam Negara perlu beri tumpuan sepenuhnya kepada urusan Undi 18 kerana ia sudah menjadi undang-undang. - NSTP/Azhar Ramli
SPR dan Jabatan Peguam Negara perlu beri tumpuan sepenuhnya kepada urusan Undi 18 kerana ia sudah menjadi undang-undang. - NSTP/Azhar Ramli

SOALAN (S): Mampukah Undi 18 dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebagaimana diarahkan Mahkamah Tinggi Kuching?

JAWAPAN (J): Arahan mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuching jelas - iaitu kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan penurunan usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Saya percaya sama ada arahan itu boleh dilaksanakan atau tidak dalam tempoh berkenaan bukanlah isu utama. Isu besar sekarang adalah kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari semua segi. Mac lalu, SPR memaklumkan ada banyak halangan, terutamanya berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pelbagai persediaan untuk mempercepat proses Undi 18.

Langkah itu membabitkan pindaan kepada Perlembagaan. Ia proses dan prosedur rutin. Keputusan ahli Dewan Rakyat untuk meminda seksyen relevan akan membabitkan pendirian dan reputasi parti politik masing-masing. Sehingga tiga atau empat hari lalu, ada kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bahawa kerajaan akan patuh dengan penghakiman itu. Namun situasi itu mungkin berubah sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk memfailkan rayuan.

Jadi, saya yakin semuanya terserah kepada pertimbangan kerajaan. Kerajaan memberi komitmen positif sebelum ini, begitu juga SPR. Mereka (SPR) meminta masa untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perancangan dan persiapan awal ke arah Undi 18 itu. Atas alasan itulah mereka menjangkakan semuanya dapat disediakan menjelang September 2022.

Dengan masa berbaki kira-kira tiga bulan, mungkin SPR berdepan kesulitan terutamanya hal teknikal dan pengoperasian.

Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed.
Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed.

S: Kebenaran mengundi untuk individu berusia 18 tahun lebih mudah dilaksanakan berbanding pendaftaran pemilih secara automatik dan kebenaran calon berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya?

J: Kita perlu bezakan antara keperluan membabitkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan, dengan keperluan yang berkaitan dengan sistem dan proses pentadbiran biasa.

Pada Julai 2019, Akta 2019 (Pindaan) membabitkan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan diluluskan. Ia diwartakan pada 10 September tahun sama. Susulan itu, usia untuk mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini turut membabitkan kedudukan individu yang akan menjadi calon seawal usia 18 tahun. Perubahan itu akan membawa kepada pendaftaran pemilih secara automatik.

Bahagian pertama - membabitkan perundangan - saya fikir sudah tidak menjadi isu. Bahagian kedua akan membabitkan pelbagai sumber - institusi dan tenaga kerja, masa, teknologi, sistem, kewangan dan pembabitan pihak selain SPR. Saya rasa bahagian kedua itu akan membabitkan tanggungjawab dan proses kerja yang agak besar sekiranya semuanya perlu disempurnakan menjelang penghujung tahun.

S: Wajarkah tiga komponen Undi 18 dikuatkuasakan berasingan dengan memberi keutamaan kepada kelayakan umur mengundi 18 tahun?

J: Saya ada terbaca berkenaan pendirian SPR - seawal Julai 2019 lalu - bahawa mereka perlu mempertimbang sama ada akan dilaksanakan sekali gus atau dibuat pengasingan. Ia bergantung beberapa pertimbangan. Kini agak jelas, dengan mengandaikan kerajaan tidak merayu keputusan mahkamah itu, maka semuanya perlu disegerakan.

Saya percaya, adalah lebih praktikal sekiranya penguatkuasaan dibuat secara berasingan. Ia memberi ruang dan kesempatan kepada kerajaan dan SPR memperkemas persediaan lengkap ke arah itu.

S: Apa impak positif jangka panjang terhadap sistem politik dan kenegaraan apabila Undi 18 dikuatkuasakan?

J: Aliran pandangan awam berkenaan persoalan ini tidak muktamad. Kajian kelihatannya memusat kepada sisi negatif mengundi pada usia muda. Persoalan terarah kepada sama ada ia wajar dilakukan, lebih-lebih lagi apabila pengundi muda patut diberi hak mengundi, sedangkan mereka masih ditanggung ibu bapa.

Selain itu, ia juga bakal memberi kesan langsung kepada suara pengundi 'matang' atau lebih berusia memandangkan sekiranya pendaftaran pemilih automatik itu siap dan dilaksanakan, bermakna tidak kurang 7.8 juta pengundi baharu akan berada dalam senarai pemilih, manakala 4.5 juta pengundi berusia 21 tahun pula terdaftar sebagai pengundi.

Sudah tentu ini akan memberi kesan kepada politik dan kenegaraan. Saya fikir positifnya lebih kepada penambahan hak kepada orang muda.

S: Ada pihak bimbang tahap kematangan pengundi semuda 18 tahun yang dikhuatiri menyebabkan ketidakstabilan politik?

J: Kita bukan bercakap mengenai kematangan fizikal semata-mata, malah lebih bimbangkan persoalan kematangan spiritual. Adakah desakan untuk mengundi awal ini disebabkan semata-mata ingin melawan suara pengundi sedia ada, atau adakah kemungkinan kebangkitan sentimen mengundi awal ini suatu penetapan agenda politik parokialisme (fahaman berfikiran sempit)? Banyak yang perlu difikir secara kritis.

Jumlah remaja di Malaysia (15 hingga 24 tahun) sehingga 2020 dianggarkan 16.63 peratus (2.8 juta lelaki, 2.7 juta perempuan). Dari segi pekerjaan, jumlah graduan bekerja sehingga 2020 adalah 4.35 juta orang, manakala yang menganggur seramai 202,000 orang (4.4 peratus).

Pada 3 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Tempoh transisi sehingga 31 Disember 2021.

Ada yang berusia 21 tahun ke atas menunjukkan pendirian yang menjejaskan kestabilan politik secara langsung atau tidak. Jadi, saya tidak tergambar bagaimana mereka berusia 18 tahun berupaya menyumbang lebih baik ke arah itu. Ini soal kematangan spiritual, membabitkan pendewasaan yang kompleks laluannya.

S: Jika Undi 18 dilaksanakan pada PRU-15, bagaimanakah pola pengundian pengundi muda ini?

J: Majoriti orang muda hari ini obsesif dengan elemen demokrasi ideal, liberalisme, idealisme pro-madani, terkeliru antara subjektiviti dan objektiviti kenegaraan dan politik.

Kajian di negara Barat mendapati pengundi muda berkecenderungan politik 'tengah-kiri'. Idea yang berelemen liberal, agresif dan menyanggah konvensional sentiasa menarik perhatian muda. Dengan kata lain, kerajaan tidak mempunyai kelebihan kerana apa yang berlaku di negara ini, sentimen dan gerakan Undi 18 adalah berbentuk 'bawah-atas' dan bukannya 'atas-bawah'.

Saya fikir adalah agak mudah untuk menjangkakan pola pengundian anak muda kelak.

Berita Harian X