Jumaat, 3 September 2021 | 5:13pm
F&N edar hampir 1.5 juta minuman isotonik 100PLUS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bagi menyokong usaha kerajaan - FOTO F&N
F&N edar hampir 1.5 juta minuman isotonik 100PLUS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bagi menyokong usaha kerajaan - FOTO F&N

Kempen F&N 'Hidratkan Diri, Sihatkan Badan' bantu petugas hadapan

LEBIH 35.5 juta dos vaksin sudah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dengan kira-kira 15.4 juta individu menerima suntikan lengkap vaksin setakat semalam.

Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 negara bermula sejak 24 Februari lalu.

Bagi menyokong usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok, Fraser & Neave Holdings Bhd mengambil langkah proaktif mengedarkan hampir 1.5 juta minuman isotonik 100PLUS kepada petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih.

Kempen bertemakan 'Hidratkan diri, sihatkan badan' yang berlangsung sejak tiga bulan lalu, bertujuan membantu orang ramai terutama petugas barisan hadapan agar kekal hidrasi sepanjang masa.

F&N mula mengedarkan 100PLUS di PPV Pusat Dagangan Dunia PWTC Kuala Lumpur, Pusat Pameran dan Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia Axiata Arena Bukit Jalil bermula Jun lalu.

Malah F&N juga dalam perancangan untuk meluaskan kempen berkenaan di PPV seluruh negara bagi menyokong usaha kerajaan menggalakkan pengambilan vaksin, sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok.

Bantu kerajaan dalam program imunisasi

ImageDatuk Raffiq bersama petugas F&N mengendalikan kempen 'Hidratkan diri, sihatkan badan' di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) - FOTO F&N

Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff, berkata
inisiatif ini akan terus dilakukan oleh pihak F&N sebagai tanda sokongan terhadap program imunasisi COVID-19 di Malaysia.

"Syukur kerana sambutan sangat menggalakkan dan selain itu, kami juga memberikan bantuan produk di sekatan jalan untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kepada hospital sejak PKP satu lagi," katanya

Dalam usaha menjaga keselamatan golongan pekerja, F&N juga menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan seperti  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jawatankuasa Pengurusan Bencara Negeri Sarawak untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada kakitangan dan rakan niaga dalam ekosistem mereka.

Selain itu, F&N juga komited dalam menyediakan persekitaran selamat untuk semua kakitangan mereka.

ImageKakitangan F&N mengagihkan minuman isotonik 100PLUS di Pusat Pemberian Vaksin PWTC- FOTO F&N

Raffiq MD Ariff berkata, pihak F&N akan berterusan menjalani norma baharu dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun sudah divaksin.

Katanya, kakitangan yang terbabit dalam inisiatif ini akan terus menjalani ujian COVID-19, pengambilan suhu serta pemeriksaan pengimbasan di aplikasi MySejahtera.

Sehingga kini, lebih 90 peratus pekerja F&N di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin atau sudah mendapat janji temu.

Berita Harian X