Ahad, 29 Ogos 2021 | 9:59pm

Kabinet baharu, kerjasama isu COVID-19 reda krisis

PEMBENTUKAN Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri, Jumaat lalu bersama penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 menjadi antara polemik penting kerana ia menentukan sejauh mana usaha menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik di negara ini.

Wartawan BH, Rohaniza Idris mewawancara ahli politik veteran, Tan Sri Shahrir Samad dan Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Tan Sri Shahrir Samad.
Tan Sri Shahrir Samad.

Soalan (S): Apa pandangan Tan Sri mengenai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 dengan pembangkang turut dijemput menyertainya?

Jawapan (J): Berpandukan empat daripada tujuh perkara dibangkitkan dalam kenyataan media Istana Negara dan penekanan Majlis Raja-Raja, pembabitan semua pihak termasuk wakil parti pembangkang dengan harapan mereka ada kepakaran boleh membantu MPN dan jawatankuasa khas itu.

Penyertaan ini bukan dikhususkan ketua parti saja, sebaliknya mereka berkepakaran. Kita tidak mahu MPN jadi tempat penyelesaian politik kerana ia boleh dibuat di Parlimen.

Pendekatan MPN mengambil kira aspek pemulihan lebih bersasar, membantu pemulihan ekonomi pelbagai lapisan ekonomi rakyat dan negara. Ia mesti menyediakan dan membabitkan pakar dan golongan yang ada ilmu mengenai kesihatan, ekonomi mikro dan makro.

Soal pendidikan terjejas akibat COVID-19 juga perlu diberi perhatian. Penyertaan pembangkang ini bagus, tetapi lebih baik digerakkan melalui jawatankuasa pilihan di Parlimen. Lebih penting dari segi politik kepada Parlimen dan MPN membuka ruang perbincangan serta penelitian jawatankuasa Parlimen, bukan rentas politik, tetapi lapisan rakyat.

Kita tidak boleh kekal dengan pendekatan silo, mesti ada rentas sempadan pelbagai badan. Pemimpin politik dijemput dalam MPN, mungkin kerana ia dijadikan wadah perpaduan pandangan.

Paling mustahak, peranan Parlimen itu sendiri ditambah kerja peringkat jawatankuasa pilihan lebih fokus yang boleh menjemput pakar memberikan pandangan. Perbincangan perlu lebih menyeluruh di MPN dan Parlimen serta mereka boleh berkongsi maklumat antara satu sama lain.

S: Nampaknya cadangan itu seperti diterima baik pembangkang berbanding sebelum ini. Apa pandangan Tan Sri?

J: Ia memang berlainan dari segi reaksi kerana Perdana Menteri sekarang sudah ada majoritinya. Memang benar tawaran sama, tetapi keadaan berbeza. Sudah tentu pembangkang memberikan persetujuan, manakala tawaran mungkin sama tetapi perinciannya berbeza.

Berdasarkan kenyataan bersama Perdana Menteri dan tiga pemimpin pembangkang, semuanya berkisar prinsip umum dan peranan Parlimen serta tadbir urus baik. Turut diperakukan peranan Parlimen dan kerajaan, ke arah pemisahan kuasa kerajaan dan kehakiman.

Saya melihat kenyataan bersama itu tidak begitu terperinci hanya dari konsep dan prinsip saja. Mungkin selepas ini akan disusuli perincian lebih jelas termasuk soal belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen. Pembangkang mungkin akan sokong soal bekalan dan belanjawan, bukan soal reformasi institusi.

S: Adakah cadangan kerjasama lebih kepada usaha meredakan ketegangan politik?

J: Meredakan suhu politik antara syarat usaha pemulihan negara. Kerjasama ini boleh meredakan perbalahan politik hingga tumpuan boleh diberikan untuk negara berhadapan pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Suhu politik ini boleh dicapai di Parlimen wadah untuk wakil rakyat sama ada kerajaan dan pembangkang menyuarakan pandangan serta menyumbang pemikiran. Suhu politik di paras tinggi memang tidak baik dalam suasana berhadapan COVID1-19.

Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh meredakan ini. Johor antara negeri terawal berjaya menurunkan suhu politik selepas mengadakan perbincangan dan pertukaran pendapat dengan parti pembangkang.

Politik bukan bermakna wujud konfrontasi, anda di sana dan saya di kumpulan sini. Seperti di Johor, kerajaan negeri meredakan suhu politik apabila Menteri Besar berbincang dengan wakil rakyat pembangkang mendengar masalah rakyat, akhirnya bantuan diberikan sama rata.

Di Johor, majoriti lebih nipis berbanding Parlimen tetapi berjaya diredakan kerana kita mengambil pendekatan teratur dan tertib serta mendengar semua suara wakil rakyat.

S: Apakah pro dan kontra jika kerjasama ini berlaku kepada kedua-dua pihak?

J: Ketika ini, pembangkang atau kerajaan berdepan masalah sama, soal kesihatan dan ekonomi. Kita membincangkan soal nyawa serta kehidupan rakyat.

Jika wujud isu lain seperti salah tadbir urus kerajaan, maka pembangkang akan tetap bawa dan bangkitkan. Dengan kerjasama ini, soal terbabit dibincangkan secara telus dan terbuka hingga tidak timbul masalah yang boleh menghangatkan suhu politik.

Kerajaan sendiri kena berkelakuan dan melakukan perkara boleh diterima semua pihak, sekali gus memberi faedah serta dirasakan rakyat. Semua pihak perlu patuh kepada prinsip urus tadbir baik dan fokus pemulihan ekonomi dilaksanakan dengan tersusun dan telus serta tiada isu pilih kasih termasuk keutamaan diberikan kilang besar dan bantuan kurang kepada peniaga kecil.

S: Sejauh mana kerjasama rentas parti akan menjadi norma baharu dalam politik Malaysia?

J: Kerjasama antara parti politik perlu berlangsung dalam gelanggang Parlimen. Sebab itu saya tegaskan jangan diulang kesilapan menutup Parlimen. Parlimen perlu dibuka bagi mencari persefahaman, bertukar fikiran dan mendengar luahan rakyat dalam menghadapi COVID-19 serta krisis ekonomi.

Kita kena terima masalah bersama, jadi tidak timbul soal sembunyi fakta dan timbul ketidakpuasan hati. Kita mahukan Parlimen boleh bersidang, bersoal jawab dan perbahasan dibuat supaya semua pihak mendapatkan kefahaman atas masalah dihadapi dan maklumat kerajaan diberikan kepada wakil rakyat untuk disalurkan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra, Jumaat lalu. - Foto JPM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra, Jumaat lalu. - Foto JPM

S: Sejauh mana pula perbezaan antara kerajaan dan pembangkang dapat dikikis kerana selagi tiada kesepakatan dalam hala tuju, bukan mudah untuk bekerja sebagai satu pasukan?

J: Kita tidak boleh elak dalam politik ada kumpulan sekular, pentingkan agama dan ada lebih cenderung menegakkan isu Perlembagaan berdasarkan ideologi parti. Namun, isunya sekarang semua orang merasai masalah sama akibat COVID-9 dan krisis ekonomi.

Ini isu kesihatan awam, ekonomi rakyat pelbagai peringkat - bukan hanya soal syarikat besar atau kumpulan pemberi modal saja ini, bahkan semua peringkat peniaga kecil, sederhana dan mikro. Kita kena sepakat mencari penyelesaian untuk semua.

S: Bagaimanakah kerajaan dan pembangkang dapat memastikan kerjasama melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 berhasil mencapai sasaran?

J: Tidak boleh lihat sudut penyelesaian di peringkat atas saja sebaliknya perlu babitkan negeri dan daerah. Contohnya, kita bukan hanya mahu melihat statistik kes dibezakan warna pada peta negeri, sebaliknya semua perkara termasuk bilangan mereka sudah vaksin, mereka dikuarantin dan kehilangan kerja.

Jika kita tahu maklumat dan realiti, lebih mudah kita membuat penyelesaian tepat. Contohnya, ada keluarga dikuarantin tetapi maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) itu tidak disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga bantuan kebajikan tidak dapat disalurkan sebaliknya hanya mengharapkan masyarakat dan jiran.

Sekarang kita nampak lompong ini. Saya akui maklumat KKM lengkap tetapi maklumat kebajikan tidak ada. Data dan maklumat tidak menunjukkan realiti sebenar di bawah hingga ia tidak sampai ke mukim dan daerah sedangkan pihak di peringkat itu perlu dibabitkan sama.

S: Apa pandangan Tan Sri terhadap idea 'Keluarga Malaysia' dibangkitkan Perdana Menteri? Apakah kerjasama dicadangkan Ismail Sabri ini menepati idea ini?

J: Memupuk semangat kekeluargaan bagi negara, kena bermula di pelbagai peringkat. Jangan tengok sudut besar, sedangkan tidak terasa di bawah dan pertengahan. Boleh bermula dengan wawasan besar, namun untuk mengisi dan melaksanakannya perlu membabitkan pelbagai peringkat dengan semangat sama.

Mereka di atas mahu melihat semangat ini berlaku di bawah. Kekeluargaan tiada masalah tetapi kita tersekat kerana persekutuan tidak mendengar dan membantu kita. Jika keluarga besar, ia perlu melingkungi semua aspek supaya tidak ada menyindir, cakap saja tetapi tidak mendengar rintihan di bawah tidak dengar.

Jangan selesai di atas saja. Kita membawa konsep besar, jadi perlu melaksanakan di akar umbi. Di bawah memang semangat ini ada tetapi di pertengahan ini, ia tidak wujud. Banyak masalah setahun lebih ini tidak selesaikan lagi, maka tumpu selesaikan ini.

Gandingan menteri lama, muka baharu jamin kestabilan politik

Ahmad Martadha Mohamed.
Ahmad Martadha Mohamed.

Soalan (S): Bagaimana Prof melihat pembentukan Kabinet kali ini?

Jawapan (J): Secara umumnya, ia adalah untuk kestabilan dan kesinambungan dalam pentadbiran kerajaan. Saya melihat majoriti dalam Kabinet terdahulu dilantik semula dan beberapa muka baharu dipilih, manakala pemimpin berpengalaman serta pernah menjadi menteri diberikan tempat dan beberapa menteri ditukar portfolio.

Langkah ini penting terutama pelantikan semula menteri daripada Kabinet terdahulu kerana mereka sudah mengetahui bidang tugas dilaksanakan sebelum ini. Semua ini penting untuk kestabilan dalam kerajaan, yang menteri dilantik sudah mengetahui tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

S: Bagaimanakah pula dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dikosongkan dengan rangka pembentukan masih menggunakan acuan sama, iaitu mengekalkan portfolio menteri kanan?

J: Pelantikan empat menteri kanan selaras pentadbiran sebelum ini, memudahkan urusan kerana mereka mengetuai portfolio penting untuk negara, iaitu perdagangan, pertahanan, pembangunan dan pendidikan.

Keempat-empatnya sudah melaksanakan peranan dan fungsi Timbalan Perdana Menteri. Ini juga mudah Perdana Menteri mengarahkan keempat-empat Menteri Kanan dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Ini strategi baik untuk kestabilan politik dan pentadbiran. Sebelum ini pun, ada pihak mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada parti mereka hingga mewujudkan perpecahan dalam Kabinet.

Dibimbangi pelantikan Timbalan Perdana Menteri akan mewujudkan perpecahan dalam Kabinet dan antara parti gabungan membentuk kerajaan. Ini jelas dapat mengurangkan perpecahan dan konflik dalam tempoh tidak sampai dua tahun penggal kerajaan berakhir.

Jika ada unsur perpecahan mengganggu-gugat sebaiknya ia dielakkan lebih awal. Saya berpandangan ini strategi sangat baik pada waktu ini.

S: Bagaimanakah Prof melihat pertukaran kedudukan Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang kini masing-masing disandang Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Adham Baba.

J: Khairy dilihat sangat cemerlang dalam tugasnya terutama berkaitan program vaksinasi yang ia menjadi antara agenda penting kerajaan ketika ini. Dengan meletakkan Khairy, ini akan boleh melonjakkan dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani COVID-19 dengan baik dan sempurna.

Pertukaran kedudukan Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang kini masing-masing disandang Khairy Jamaluddin (kanan) serta Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto BERNAMA
Pertukaran kedudukan Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang kini masing-masing disandang Khairy Jamaluddin (kanan) serta Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto BERNAMA

S: Bagaimana pula dengan pelantikan tiga muka lama dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu kerana ada yang bimbang mengenai prestasi mereka?

J: Mereka ada pengalaman sebagai Jemaah Menteri, sekali gus tahu selok-belok perjalanan Kabinet. Seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau bukan saja pemimpin tertinggi parti, bahkan berpengalaman luas sebagai menteri dan Menteri Besar yang sangat sesuai menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Begitu juga Tan Sri Noh Omar yang kini dilantik Menteri Pembangunan Usahawan. Kedua-dua portfolio ini sangat penting dalam membangunkan sektor ekonomi rakyat terutama Melayu dan Bumiputera.

Begitu juga pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang pernah berada dalam Kabinet BN dan pernah menjadi Menteri Besar.

Dengan pengalaman ini, saya percaya mereka tidak mengambil masa lama memahami selok-belok kerajaan. Keutamaan Perdana Menteri saya kira berteraskan pengalaman luas dalam kerajaan dan kebolehan kepemimpinan diadunkan bersama supaya memudahkan tumpuan diberikan kepada agenda menangani krisis dan bangunkan sektor ekonomi.

S: Sejauh mana pelantikan dua muka baharu, iaitu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) boleh dikaitkan dengan pengagihan kerusi mengikut parti politik?

J: Kedua-dua pelantikan ini memang berkait dengan jawatan dalam parti masing-masing. Seperti Ahmad Faizal, pelantikannya sangat tepat kerana jawatan Timbalan Presiden adalah hierarki tertinggi parti selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi dalam Kabinet.

Ahmad Faizal juga ada pengalaman sebagai Menteri Besar Perak, jadi saya kira tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri sebagai menteri. Maka wujud keseimbangan baik berdasarkan parti politik dalam Kabinet ini.

Begitu juga pelantikan Idris kerana beliau pemimpin kanan parti. Keseimbangan pelantikan menteri mengikut parti politik penting untuk kestabilan kerajaan supaya tidak timbul polemik dan konflik akan menyukarkan pentadbiran kerajaan.

Jika semua parti berpuas hati, mereka akan memberikan sokongan dan dukungan kepada Perdana Menteri untuk meneruskan agenda negara.

S: Sejauh mana Kabinet ini akan dapat menepati sasaran Perdana Menteri seperti digariskan ketika mengumumkannya?

J: Gabungan mereka muka lama dan berpengalaman dengan orang baharu dalam Kabinet adalah gandingan baik kerana mereka lebih memahami, peka serta arif dengan program mahu dilaksanakan kerajaan.

Ini dapat meningkatkan keberkesanan menteri dipertanggungjawabkan. Dalam kesuntukan masa, sudah tentu Perdana Menteri memilih pasukan beliau kenali dan mempunyai prestasi boleh diharapkan.

Dengan pasukan baik ini, kerajaan akan dapat memberi tumpuan agenda utama menangani pandemik dan membangunkan sektor ekonomi. Proses vaksinasi memuaskan ketika ini sudah tentu menuntut lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula. Justeru, apabila ekonomi dibuka sudah tentu ini dapat menarik semula pelabur asing.

S: Sejauh mana persepsi menganggap tidak banyak berubah berbanding Kabinet kerajaan terdahulu?

J: Wujud persepsi sedemikian bukan masalah besar. Apa lebih utama kepada Perdana Menteri adalah memastikan kestabilan politik itu dicapai. Oleh itu, beliau melantik pemimpin biasa dan menyokong beliau sebelum ini yang akan memantapkan pentadbirannya.

Melantik mereka yang baharu mungkin akan menimbulkan isu baharu apabila tidak memahami selok-belok dan dasar pentadbiran hingga mengganggu-gugat kelancaran kerajaan.

Objektif utama kerajaan untuk tempoh tidak sampai dua tahun ini adalah satu pasukan memahami antara satu sama lain dan boleh bekerja dalam pasukan.

Saya percaya sebab itu Perdana Menteri mengekalkan muka lama dalam Kabinet supaya kestabilan politik dapat memastikan kerajaan mampu menguruskan negara terutama mengatasi pandemik COVID-19 dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Kestabilan politik dapat memastikan kerajaan mampu menguruskan negara terutama mengatasi pandemik COVID-19. - Foto NSTP
Kestabilan politik dapat memastikan kerajaan mampu menguruskan negara terutama mengatasi pandemik COVID-19. - Foto NSTP

S: Apakah pandangan Prof mengenai beberapa nama dianggap kurang memuaskan hati sebahagian rakyat tetapi masih tersenarai?

J: Memang ada individu dilantik dalam Kabinet ini dalam kalangan tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan. Namun, ia atas dasar perpaduan sesama parti komponen membentuk kerajaan.

Saya pasti jika ada peluang, sudah tentu Perdana Menteri hanya mahu melantik mereka mempunyai prestasi lebih baik dan boleh membuat kerja terutama dalam tempoh singkat. Jika kita lihat komposisi parti, sudah tentu beliau mendapatkan nasihat daripada kepemimpinan parti komponen untuk meletakkan wakil mereka.

Saya tidak menolak kemungkinan ada nama disenaraikan parti politik ini tidak mempunyai prestasi baik dalam Kabinet terdahulu tetapi demi memastikan kesepaduan dan permuafakatan erat, Perdana Menteri tetap melantik mereka.

Ini kerana pemuafakatan dan kerjasama itu lebih penting untuk mengekalkan kestabilan kerajaan. Perdana Menteri terpaksa akur terdapat pimpinan tidak begitu cemerlang dan menerimanya untuk memastikan kerajaan dibentuk terus stabil hingga habis penggal.

KABINET MALAYSIA

Berita Harian X