Sabtu, 21 Ogos 2021 | 6:36pm

520,000 pekerja industri pertanian divaksin melalui AiVAC

KUALA LUMPUR: Kira-kira 520,000 pekerja barisan hadapan dan pengusaha industri pertanian dan agromakanan akan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 melalui Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) yang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata pelaksanaan AiVAC adalah sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja industri agromakanan.

"Program ini dilaksanakan bagi menjamin kelansungan rantaian bekalan makanan negara dan seterusnya merancakkan semula sektor agromakanan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia membabitkan dua kategori iaitu kumpulan sasar utama dan kumpulan sasar pemain industri terpilih.

"Kumpulan sasar utama adalah seramai 420,000 pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri agromakanan kecil-kecilan warganegara Malaysia, manakala kumpulan sasar pemain industri terpilih membabitkan 100,000 pekerja di syarikat dan persatuan dalam sektor agromakanan yang berdaftar dengan MAFI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

AiVAC akan turut membabitkan seluruh jabatan dan agensi di bawah MAFI sebagai tanda sokongan kepada kempen Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"MAFI menetapkan sasaran dalam tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan pelaksanaan program AiVAC selaras dengan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia dalam masa terdekat.," katanya.

Beliau turut memaklumkan, MAFI turut melancarkan Program Outreach Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan di Kompleks Latihan MADA, Alor Serdang, Alor Setar, hari ini yang menyasarkan 7,500 peladang.

Bagi peringkat awal, projek rintis itu membabitkan 1,000 peladang bagi kawasan pertanian di bawah MADA.

Berita Harian X