Rabu, 28 Julai 2021 | 10:44pm
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Ahli Parlimen DAP memohon maaf susulan tindakan mereka tidak menghormati sesi bertafakur dan bacaan Al Fatihah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mereka yang meninggal dunia kerana COVID-19 pada sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen, kelmarin. - Foto BERNAMA

Ahli Parlimen DAP perlu mohon maaf

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP digesa membuat permohonan maaf susulan tindakan mereka tidak menghormati sesi bertafakur dan bacaan Al Fatihah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mereka yang meninggal dunia kerana COVID-19 pada sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen, kelmarin.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata umat Islam dan rakyat Malaysia sangat tersinggung dengan tindakan biadap beberapa Ahli Parlimen DAP yang tidak menghormati saat bertafakur yang dianjurkan oleh Muhyiddin.

"Ketika Perdana Menteri membaca surah Al Fatihah dan menyatakan rasa dukanya terhadap kehilangan begitu ramai nyawa akibat pandemik ini, pemimpin DAP dan rakan-rakannya terus berteriakan dan mengganggu Perdana Menteri.

"Tiada sedikitpun rasa hormat dan sopan kepada seruan bertafakur dan berdoa, apalagi terhadap seorang Perdana Menteri.

"Tindakan mereka sangat biadap, tercela dan jelek. Sikap mereka bercanggah dengan nilai kita sebagai bangsa yang teguh dengan nilai dan moral," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menggesa Ahli Parlimen DAP meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh umat Islam serta rakyat Malaysia atas tindakan tidak sopan mereka itu.

"Parlimen Malaysia tidak boleh menjadi tempat agama dan nilai terbaik bangsa menjadi sendaan dan perbuatan biadap," katanya.

Berita Harian X