Jumaat, 16 Julai 2021 | 3:08pm
GRAB dan foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung. - Foto hiasan
GRAB dan foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung. - Foto hiasan

Lebih 145,000 penghantar dilindungi PERKESO

KUALA LUMPUR: Lebih 145,000 penghantar barang dan makanan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki dan juga rakan penghantar di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ini berikutan, dua platform penyedia perkhidmatan penghantaran, Grab Malaysia (GRAB) dan foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung.

Dalam satu kenyataan bersama, PERKESO, Grab dan foodpanda, berkata program kerjasama strategik itu adalah pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja penghantaran.

Kerajaan melalui SPS Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Langkah itu bagi memastikan golongan itu dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar dengan PERKESO.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata PERKESO menyambut baik, keprihatinan dan rasa tangggungjawab kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan ini dalam mendaftar, mencarum dan melindungi penghantar mereka.

"Saya percaya, ia bukan saja akan membangkitkan semangat penghantar meningkatkan mutu perkhidmatan tetapi turut mendorong platform penyedia perkhidmatan lain mencontohinya," katanya.

GRAB dan foodpanda menjadi syarikat pertama dalam kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia yang mendaftarkan rakan penghantar untuk dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS.

Langkah itu dibuat selepas mengambil kira perubahan ekonomi dan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan sektor ekonomi gig, terutama ketika tempoh penularan COVID-19.

Penyertaan dalam skim itu juga dibuat atas kesedaran kebajikan golongan rakan penghantar yang terdedah dengan risiko aktiviti pekerjaan terutamanya ketika di jalan raya.

Selain, bertepatan dengan seruan Kerajaan agar pekerja sektor informal tidak tersisih daripada perlindungan keselamatan sosial, sama seperti pekerja dalam sektor formal.

Pengarah Urusan, GRAB, Sean Goh, berkata mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan PERKESO dalam menyediakan faedah perlindungan untuk keselamatan dan kesejahteraan rakan penghantar.

"SPS Lindung juga melengkapi perlindungan insurans GrabInsure 24/7 di bawah program GrabBenefits yang bertujuan memberikan perlindungan sosial dan jaringan keselamatan kepada komuniti rakan pemandu dan penghantar," katanya.

Sementara itu, Ketua Logistik, foodpanda, Shubham Saran, berkata keselamatan dan kebajikan rakan penghantar foodpanda akan sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.

"Kami sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada semua rakan penghantar kami dan ingin memastikan mereka tidak perlu risau jika sesuatu tidak diingini berlaku," katanya.

Statistik PERKESO sehingga 9 Julai lalu menunjukkan, seramai 64,773 pencarum aktif yang terdiri daripada rakan penghantar kini berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Berita Harian X