Rabu, 30 Jun 2021 | 4:20pm
GIACC juga akan menumpukan pelaksanaan kajian Akta Perlindungan Pemberi Maklumat - Mohd Sallehuddin
GIACC juga akan menumpukan pelaksanaan kajian Akta Perlindungan Pemberi Maklumat - Mohd Sallehuddin

GIACC wujud undang-undang tingkat ketelusan perolehan kerajaan

PUTRAJAYA: Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) akan mewujudkan undang-undang khusus atau peraturan mengenai pembabitan pihak ketiga bagi meningkatkan ketelusan perolehan kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan berkata, pihaknya juga akan menumpukan kepada pelaksanaan kajian Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Katanya, itu antara inisiatif di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan diberi tumpuan dan keutamaan pihaknya.

"NACP yang diterbitkan pada tahun 2019 menggariskan 115 inisiatif dan daripada jumlah itu 29 inisiatif dilaksanakan.

"Bagaimanapun semakan Separuh Penggal NACP yang membuat penilaian kembali inisiatif berkenaan, kita memutuskan 82 inisiatif akan diteruskan pelaksanaannya oleh 27 Ketua Agensi Peneraju," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Sallehuddin mengingatkan kementerian dan agensi peneraju untuk menyegerakan tindakan pelaksanaan inisiatif NACP.

Katanya, tindakan itu berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah melalui peningkatan governan dan integriti.

Sementara itu, mengenai Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023, Mohd Sallehuddin berkata, ia dipersetujui Jemaah Menteri pada 19 Mei lalu.

"Laporan Semakan Semula ini mengandungi senarai inisiatif NACP ditambah baik serta disesuaikan dengan dasar dan fokus kerajaan semasa.

"Oleh kerana NACP adalah satu dokumen merentas masa, maka penyelarasan inisiatif yang dibuat masih mengekalkan enam bidang keutamaan khusus iaitu Tadbir Urus Politik, Pentadbiran Sektor Awam dan Perolehan Awam.

"Ia turut membabitkan bidang Perundangan dan Kehakiman, Penguatkuasaan Undang-undang dan Tadbir Urus Korporat," katanya.

Berita Harian X