Selasa, 20 April 2021 | 9:47pm
 Isu kekurangan hasil dan kualiti benih boleh ditangani dengan pengenalan aplikasi pertanian pintar yang dapat memberikan jangkaan pengeluaran dan tahap kualiti benih. - Foto fail NSTP
Isu kekurangan hasil dan kualiti benih boleh ditangani dengan pengenalan aplikasi pertanian pintar yang dapat memberikan jangkaan pengeluaran dan tahap kualiti benih. - Foto fail NSTP

Aplikasi pertanian pintar dapat atasi isu benih padi

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan hasil dan kualiti benih boleh ditangani dengan pengenalan aplikasi pertanian pintar yang dapat memberikan jangkaan pengeluaran dan tahap kualiti benih.

Profesor Jabatan Sains Tanaman Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Razi Ismail, berkata menerusi aplikasi itu ia dapat diguna pakai di setiap sawah yang dikhususkan untuk pengeluaran benih.

Pemantauan berterusan terhadap status kesuburan pokok padi dipantau untuk mendapatkan data jangkaan hasil sekali gus memberikan maklumat kecukupan benih padi.

Data yang diperoleh dipusatkan atau 'centralized' melalui sistem berpusat yang dapat memberi maklumat awal dan berkesan untuk tujuan perancangan perolehan benih padi.

"Sebagai contoh, model jangkaan hasil padi ada dibangunkan penyelidik di Fakulti Pertanian UPM melalui pemantauan berterusan pada pokok padi di sawah menggunakan aplikasi dron dan perisian yang sesuai yang boleh memberi jangkaan penghasilan yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan perancangan dan penghasilan di sawah," katanya kepada BH, hari ini.

Di negara ini, sumber benih padi sah dikeluarkan beberapa syarikat dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membekalkan benih padi kepada pesawah mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Setiap pembekal telah ditetapkan kapasiti pengeluaran supaya dapat menepati keperluan pesawah di jelapang dan juga di luar jelapang padi. Masalah ketidakcukupan dan kelewatan ini berlaku disebabkan pengeluaran padi di sawah bagi tujuan pembenihan tidak mencapai penghasilan maksimum selain puncanya disebabkan kualiti benih yang rendah berdasarkan piawaian oleh Jabatan Pertanian Malaysia," katanya.

Jika ini berlaku di peringkat ladang benih ia akan menyebabkan kekurangan sumber benih padi untuk dibekalkan kepada pesawah yang akan menanam padi pilihan mereka bagi musim penanaman tertentu.

Perancangan jenis atau varieti padi spesifik yang menjadi pilihan pesawah berdasarkan keperluan pesawah di setiap jelapang juga perlu diberi perhatian oleh peneraju industri padi dan beras.

"Ini berikutan varieti spesifik pilihan pesawah dapat dibekalkan mengikut ketetapan musim penanaman oleh autoriti jelapang," katanya sambil menambah industri padi dan beras negara telah berkembang pesat di atas kepentingan sekuriti makanan, justeru pertambahan kepada agensi pengeluar benih padi perlu juga dipertimbangkan.

Aplikasi pertanian pintar akan dapat memantau status kesuburan pokok padi sekali gus memberi maklumat kecukupan benih padi. - Foto fail NSTP
Aplikasi pertanian pintar akan dapat memantau status kesuburan pokok padi sekali gus memberi maklumat kecukupan benih padi. - Foto fail NSTP

Sementara itu, Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan di Akademi Profesor Malaysia, Prof Dr Fatimah Mohamed Arshad, berkata MAFI perlu meningkatkan kawalan kualiti yang tegas, kerap dan berkesan dengan pembabitan daripada pelbagai kalangan pakar berkaitan. Pembabitan itu disertai petani, pengilang, Pertubuhan Peladang Kawasan, serta agensi dan wakil daripada kementerian itu sendiri.

"Dalam konsep menyelesaikan manipulasi oleh ejen haram ia boleh dilakukan dengan langkah membangunkan pangkalan data dan perlu dibina dengan teknologi 'blockchain' di mana semuanya telus," katanya.

Katanya, pangkalan data itu lengkap mengandungi maklumat mengenai pengeluar benih, profil sosio-ekonomi pengeluar, kuantiti, lokasi, harga, jenis benih, harga jualan, kuantiti jualan dan bilangan pembeli.

Fatimah yang juga Felo Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, pengeluar setempat juga seharusnya perlu tahu situasi setempat dengan baik. Kelompok ini perlu tahu jenis benih yang digunakan, bila diperlukan dan boleh dihantar dengan cepat.

Justeru, lebih ramai pembekal setempat termasuk petani, PPK atau individu dan swasta ada dibabitkan," katanya.

Masalah tiada harga siling, boleh diatasi dengan mewujudkan lebih banyak pembekal dan pesaing.

"Lagi banyak pembekal akan mewujudkan lebih persaingan dan meminimumkan ruang penipuan. Jika satu pembekal menipu, beliau akan hilang pelanggan kerana ramai pembekal alternatif yang lain. Tapi jika ada satu pembekal sahaja seperti NAFAS, ia tiada saingan dan tiada insentif untuk memberi perkhidmatan yang cekap," katanya.

Selain itu katanya, NAFAS perlu merancang dan meramal keperluan benih padi tempatan. NAFAS perlu menyediakan maklumat pasaran benih secara harian kepada pelanggannya.

"Maklumat seperti pembekal (kuantiti, kualiti dan lokasi) untuk memudahkan petani mendapat bekalan," katanya.

Berita Harian X