Rabu, 7 April 2021 | 12:52pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tiada perbualan saya dengan Anwar lepas PAU" - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan wujudnya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman yang sedang tular di media sosial, kononnya membabitkan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, Ahmad Zahid menjelaskan, beliau kecewa dan amat terkejut dengan penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara dirinya dan Anwar.

"Ini satu percaturan politik jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

"Ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini," katanya mengulas penyebaran audio perbualan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang mula tersebar sejak petang semalam.

Kandungan itu, antara lain memaparkan perbualan di antara dua individu yang berkisar soal perjalanan PAU sebelum ini, yang menyaksikan pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dipersetujui sebulat suara perwakilan PAU.

Dalam audio itu, turut disentuh mengenai pendirian menteri dari UMNO yang didakwa kedua-duanya tidak berani untuk meletakkan jawatan menteri yang disandang mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, sudah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang di sebalik perbuatan itu.

"Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

"Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli, apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan PAU," katanya.

Berita Harian X