Ahad, 7 March 2021 | 10:00pm
Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.- Foto sumber internet
Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.- Foto sumber internet

Natrah lapor SPRM hari ini, dakwa cuba disogok

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung dakwaan cubaan menyogoknya oleh pihak tertentu.

Natrah berkata, laporan itu dibuat mengikut Seksyen 25, Akta SPRM 2009, berhubung kewajipan melaporkan tawaran suapan.

"Hari ini saya membuat satu laporan kepada pihak SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan janji manfaat yang boleh saya peroleh dengan pemberian sokongan berkenaan.

"Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu dan membabitkan dua individu termasuk seorang bergelar 'Datuk Seri'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut berharap SPRM dapat menyiasat laporan berkenaan dengan segera.

Sementara itu, Natrah berkata, beliau tidak akan mengkhianati Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan dan pengundi Parlimen Sekijang.

"Saya tidak berminat memberi sokongan kepada Muhyiddin. Jadi, kepada mereka yang masih berusaha mengubah sokongan Ahli Parlimen PKR atau pembangkang, berhentilah berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, Natrah dalam kenyataannya menceritakan beliau didatangi dua individu yang menyuarakan keinginan membantunya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.

Berita Harian X