Ahad, 7 March 2021 | 11:33am

Muhyiddin, isteri dibawa masuk ke dalam Kaabah

RIYADH: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi menjadi ketua kerajaan pertama berpeluang masuk ke dalam Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, malam tadi selepas lebih setahun ia ditutup berikutan wabak COVID-19.

Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dibawa masuk ke dalam Kaabah selesai solat Isya dan mengerjakan umrah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, lewat petang semalam.

Perdana Menteri dan isteri juga berpeluang mengucup Hajar Aswad pada jam 9.56 malam waktu tempatan yang menjadi antara tumpuan jemaah yang mengerjakan haji dan umrah di Makkah.

Hari ini, Perdana Menteri dijangka membuat ziarah ke Madinah sebelum memulakan program rasmi di sini pada 9 Mac yang mana kemuncaknya ialah pertemuan secara maya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah, di sini.

Perdana Menteri berada di sini bagi memenuhi jemputan Raja Salman sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 11 Mac.

Menerusi ciapan di Twitter Haramain Sharifain, dapat dilihat saat pertama pintu Kaabah dibuka dan kunjungan Perdana Menteri dirakam sambil diiringi beberapa pegawai yang lain.

Lawatan itu dalam usaha memperkasa hubungan dua hala dengan negara Asia Barat berkenaan membabitkan pelbagai bidang terutama dalam hal ehwal Islam dan perdagangan terutama ketika cabaran berikutan wabak COVID-19.

Lawatan Perdana Menteri cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Antara yang akan disentuh ialah mengenai kuota haji dan urusan umrah dalam pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi itu kelak.

Di UAE, Perdana Menteri dijangka bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Perdana Menteri dan isteri keluar dari Kaabah selepas selesai mengerjakan umrah di Masjidil Haram, Makkah, malam tadi. - Foto PMO
Perdana Menteri dan isteri keluar dari Kaabah selepas selesai mengerjakan umrah di Masjidil Haram, Makkah, malam tadi. - Foto PMO

Muhyiddin mencium Hajarul Aswad ketika menunaikan ibadah umrah. - Foto PMO
Muhyiddin mencium Hajarul Aswad ketika menunaikan ibadah umrah. - Foto PMO

Muhyiddin yang dalam lawatan rasmi empat hari ke negara ini mulai semalam, menunaikan umrah atas undangan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga Penjaga Dua Masjid Suci. - Foto BERNAMA
Muhyiddin yang dalam lawatan rasmi empat hari ke negara ini mulai semalam, menunaikan umrah atas undangan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga Penjaga Dua Masjid Suci. - Foto BERNAMA
Berita Harian X