Rabu, 3 March 2021 | 10:12pm

Dua maut dalam kejadian perancah besi runtuh

KUALA LUMPUR: Dua dari empat wanita pekerja kilang meninggal dunia dalam kejadian perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh, di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van terselamat dan mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata semua mangsa yang juga rakyat tempatan dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Pemandu van itu dibawa keluar pada jam 8.50 malam. Penumpang dibawa keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam sehingga 9.27 malam

"Berdasarkan laporan awal semua mangsa berusia antara 30 hingga 45 tahun.

"Mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata, pemandu treler yang melanggar perancah besi berkenaan sudah membuat laporan polis dan kini berada di Balai Polis Sungai Besi.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam van selepas dihempap sebahagian struktur pembinaan lebuh raya dekat Desa Tun Razak, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam van selepas dihempap sebahagian struktur pembinaan lebuh raya dekat Desa Tun Razak, hari ini. - Foto BERNAMA

"Berdasarkan maklumat awal, treler yang membawa muatan besi itu didapati tidak membawa muatan berlebihan. Treler itu turut dikawal oleh kenderaan peronda," katanya.

Sebelum ini, pemaju SUKE, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd, berkata treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya SUKE membawa muatan berlebihan.

Berita berkaitan:

  • Perancah besi pembinaan SUKE runtuh, hempap van kilang
  • Perancah besi runtuh: 5 mangsa dikeluarkan
  • Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam van kilang dalam kejadian perancah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya, berhampiran Desa Tun Razak. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
    Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam van kilang dalam kejadian perancah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya, berhampiran Desa Tun Razak. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
    Berita Harian X